Pengundi Beserah pamer respons positif: Mustaffar Kamal

Mustaffar Kamal menyantuni jemaah Masjid Kampung Chendor di Kuantan pada Ahad.
Mustaffar Kamal menyantuni jemaah Masjid Kampung Chendor di Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah menunjukkan respons positif untuk menyokong dan mengundi BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon kerusi N12 itu, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata, itu antara dapatan hasil gerakan kerja dan pertemuan yang dilakukan sejak dari awal sehingga berlangsungnya kempen PRU15.

Menurutnya, pertambahan sokongan pengundi membolehkan BN yakin dapat merampas kerusi itu yang disandang oleh Andansura Rabu daripada Pas sepanjang dua penggal.

"Kalau lihat kepada responden pengundi ketika ini memang ada peluang untuk menang. Tapi untuk menang, kita perlu bekerja keras kerana perlu menawan pengundi di beberapa kawasan yang kelabu termasuk golongan atas pagar.

"Jentera di N12 Beserah perlu bergerak dengan bermula di 13 pusat daerah mengundi (PDM). Pergerakan perlu bermula dari situ, jadi kalau menang di PDM, tidak mustahil BN akan menang secara keseluruhannya.

"Malah, kita juga mengharapkan sokongan daripada parti komponen MCA dan MIC bagi memperkuatkan lagi jentera di N12 Beserah," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Selain itu, beliau yang juga Ketua UMNO Indera Mahkota memberitahu ada di antara pengundi mendakwa mereka sering tercicir daripada menerima bantuan terutama ketika menjadi mangsa banjir.

Katanya, mereka hanya boleh mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri sahaja bukan sahaja wakil rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan itu mereka berharap agar pada PRU15 kali ini pimpinan ditukar supaya mereka ini tidak lagi tercicir dari menerima bantuan menyeluruh sekali gus menikmati segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri.

"Namun, ada antara mereka yang tercicir menerima bantuan kerana tiadanya akses secara terus kepada kerajaan negeri melainkan melalui parti.

“Bukan mereka tidak menerima bantuan tapi tidak menyeluruh. Jadi saya merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang telah membantu 100 peratus kepada penduduk di Beserah walaupun kawasan ini kalah kepada parti Pas pada PRU14 lalu,” jelas beliau.

Mustaffar Kamal menambah sekiranya memenangi kerusi DUN Beserah, usaha mendekati seluruh penduduk di bawah Beserah dan Indera Mahkota akan dilakukan dengan menyambung semula kerja-kerja yang tertinggal oleh kerajaan negeri sebelum ini berikutan pembubaran Parlimen dan DUN sebelum ini.

“Kita akan memberikan lebih banyak peluang yang besar buat penduduk terutama dari sudut pekerjaan dan pendapatan serta akan meningkatkan ekonomi penduduk dengan adanya pembangunan yang telah disediakan dan dirancang oleh kerajaan negeri sebelum ini.

"Kita akan berusaha membela nasib nelayan yang merupakan komuniti majorati di bawah DUN Beserah jika memenangi kerusi berkenaan. Ia termasuk meningkatkan Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan yang tersekat ketika di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini," ujar beliau lagi.

Mustaffar Kamal yang merupakan calon muka baharu BN bakal berhadapan dengan persaingan lima penjuru bagi merebut kerusi DUN Beserah pada PRU15 ini.

Selain bakal berhadapan dengan penyandang DUN Beserah, Andansura Rabu, Mustaffar Kamal juga perlu berhadapan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Zulkifli Mohamed; calon parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Fauzi Taib dan calon Bebas, Joseph Tang SaingYew.