Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan tanding Bebas di Bachok

Mohd Zulkifli (kanan) membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bachok pada PRU15.
Mohd Zulkifli (kanan) membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bachok pada PRU15.
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Kelantan, Mohd Zulkifli Zakaria membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat bukan kerana kecewa tidak dipilih sebagai calon, tetapi ia dilakukan demi rakyat.

"Saya bertanding Bebas kerana rakyat Bachok. Selama ini, calon di Bachok semua orang luar, bila sudah menang rakyat dibiarkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Zulkifli berkata, rakyat Bachok sudah lama dahagakan pembangunan dan perubahan.

Tambah beliau, jika dahulu Bachok dikenali sebagai pengeluar tembakau negara, namun sejak Akta Tembakau 2002 diperkenalkan ekonomi rakyat di sini semakin merudum.

Beliau berkata, dahulu ada bank sekarang sudah ditutup, malah nelayan Bachok sudah beralih pekerjaan kepada tukang rumah kerana kesempitan hidup.

"Saya akan cuba tingkatkan ekonomi rakyat Bachok dengan menjadikan jajahan ini sebagai pengeluar sayur utama melalui kaedah hidroponik.

"Sebagai orang tempatan saya yakin rakyat Bachok boleh menilai siapa yang layak dipilih untuk membela nasib mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15, PN menamakan Mohd Syahir Che Sulaiman sebagai pengganti kepada Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz untuk bertanding di Bachok.

Parlimen Bachok menyaksikan pertembungan lima penjuru iaitu PN, Pakatan Harapan (PH), Nor Azmiza Mamat, Datuk Mohd Zain Yasim (BN) dan Gerakan Tanah Air (GTA), Kamarul Azam Osman.

PRU14 lalu, Nik Mohamad Abduh yang bertanding di Bachok berjaya menewaskan calon BN, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan PKR, Mohd Zulkifli Zakaria dengan majoriti 3,292 undi.

Nik Mohamad Abduh memperoleh 36,188 undi, BN (32,896) dan PKR (4,880).