Pertama kali tanding Parlimen, Tok Mat hadapi saingan 5 penjuru

Mohamad keluar dari dewan selepas menyerahkan kertas penamaan di pusat penamaan calon Parlimen Rembau di Dewan Seri Rembau sempena PRU15 hari ini. - Foto Bernama
Mohamad keluar dari dewan selepas menyerahkan kertas penamaan di pusat penamaan calon Parlimen Rembau di Dewan Seri Rembau sempena PRU15 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

REMBAU - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini bertanding kerusi Parlimen buat pertama kalinya setelah 25 tahun menyertai arena politik tanah air, dengan menjadi calon BN bagi kerusi Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohamad menghadapi saingan sengit lima penjuru daripada PH yang mengetengahkan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha, PN yang menampilkan Setiausaha Badan Perhubungan PN negeri, Mohd Nazree Mohd Yunus serta Ramly Awalludin (Pejuang) dan S Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).

Senarai calon bagi kerusi itu diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Rembau, Mohamad Najib Mustafa di Dewan Sri Rembau di sini.

Sebelum ini, Parlimen Rembau disandang oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selama tiga penggal bermula pada 2008 sebelum beliau memberi laluan kepada Mohamad, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, untuk bertanding di kawasan itu.

Mohamad, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, mempunyai rekod prestasi cemerlang semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama empat penggal sejak 2004 selain turut berpengalaman luas dalam bidang perniagaan termasuk sebagai Ahli Lembaga Pengarah Sepang International Circuit dan Ahli Lembaga Pengarah di Khazanah Nasional Berhad.

Kesemua lima calon itu tiba di Dewan Sri Rembau bersama-sama penyokong dan pencadang masing-masing antara 8 dan 9 pagi tadi.

Semasa ditemui pemberita, Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat berkata, beliau berharap pengundi tidak mengikut perasaan ketika memilih calon sebaliknya mempertimbangkan parti yang mempunyai rekod cemerlang bagi memastikan negara dapat ditadbir urus dan dibangunkan dengan amat baik.

"Saya harap jentera (BN) terus jalankan gerak kerja, kita tak mahu usik sesiapa...yang penting tujuan pilihan raya diadakan adalah bagi memilih parti yang diberikan mandat oleh rakyat. Pastikan kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti mantap dan stabil.

Artikel Berkaitan:

"Pengundi bukan sahaja di Rembau tapi seluruh negara perlu beri kepercayaan kepada BN. Jangan risau siapa mengurus kerana kami ialah satu pasukan yang ada kewibawaan dan bakat untuk tadbir negara,” katanya sambil memberitahu setiap parti mempunyai kekuatan masing-masing.

Dalam pada itu, Jufitri yang juga anak jati Rembau berkata, beliau yakin mampu membuat kejutan pada pilihan raya umum kali ini berikutan pengalamannya sebagai pemimpin belia selain berpegang kepada apa yang boleh ditawarkannya kepada rakyat pada peringkat negeri dan nasional.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Rembau dimenangi oleh Khairy Jamaluddin dengan majoriti 4,364 undi. Khairy memperoleh 36,096 undi untuk menewaskan calon PKR Lt. Kol. (B) Roseli Abdul Ghani (31,732) dan calon Pas Mustafa Dolah (6,028).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama