'Jangan serang peribadi, kita semua ada kelemahan'

Ahmad Jazlan
Ahmad Jazlan
A
A
A

MACHANG - Serangan berbentuk peribadi perlu dielakkan oleh semua penyokong termasuk jentera parti bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebaliknya kempen perlu dilakukan dengan menumpukan agenda yang ingin dibawa untuk rakyat.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ini kerana PRU15 merupakan pemilihan wakil rakyat di peringkat Parlimen yang turut membawa suara dan kepentingan orang ramai di peringkat Dewan Rakyat.

“Saya mengambil kesempatan dan berpesan kepada semua jentera supaya yang pertama sekali jangan melakukan serangan peribadi. Kita semua ada kelemahan walaupun semua ada kelebihan.

“Kita bercakap soal dasar parti dan kemampuan parti yang mana kita menjadi wakil kali ini bukan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) tapi Parlimen yang akan membawa suara dan kepentingan kepada semua rakyat,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di pusat penamaan calon bertempat di Pejabat Tanah dan Jajahan Machang di sini.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Machang berharap agar pengundi memberi sokongan dan kepercayaan sekali lagi kepada parti itu yang mempunyai rekod peribadi yang baik dalam urusan pentadbiran dan menjaga kepentingan rakyat di daerah itu.

“Sepanjang tempoh dua penggal saya menjadi ahli Parlimen di sini, lebih 40 projek yang telah dan masih dalam pelaksanaan membabitkan kepentingan rakyat dan ia tidak tertumpu kepada satu perkara sahaja tetapi secara menyeluruh,” katanya.

Artikel Berkaitan: