Harap kerajaan stabil tadbir negara selepas PRU15

Abang Johari ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon Parlimen Petra Jaya di sini pada Sabtu.
Abang Johari ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon Parlimen Petra Jaya di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak berharap agar kerajaan Persekutuan yang stabil mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia susulan hampir empat tahun rakyat banyak membuang masa dengan politik tidak menentu.

“Sepatutnya kita memberi perkhidmatan kepada rakyat lebih-lebih lagi terdapat jangkaan cabaran ekonomi yang sangat hebat pada 2023 hingga 2024.

“Sudah semestinya Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meletakkan dasar dan hal-hal berkaitan Sarawak serta kepentingan di negeri ini diteruskan dengan kerjasama kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi GPS berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon Parlimen Petra Jaya di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua calon termasuk parti pembangkang di Sarawak agar mengadakan kempen selama 14 hari yang bermula hari ini dengan penuh tertib.

“Kesemua calon yang berkempen tanpa mengira parti diwakili perlu menjalankan proses berkempen dengan penuh tertib.

“Saya saksikan banyak kawasan-kawasan yang dipertandingkan ada satu lawan satu, tiga penjuru, empat penjuru.

Artikel Berkaitan:

“Proses demokrasi ini akan memberi ruang kepada rakyat Sarawak untuk memilih calon-calon yang akan memperjuangkan dan juga mempertahankan hak kita melalui perundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.