'Saya rasa kuat kerana figura hebat di belakang'

Annuar (empat dari kanan) yang datang memberikan sokongan dan membacakan doa kepada Marzuani Ardila (tiga dari kanan) di pusat penamaan calon di Parlimen Ketereh, Kota Bharu pada Sabtu.
Annuar (empat dari kanan) yang datang memberikan sokongan dan membacakan doa kepada Marzuani Ardila (tiga dari kanan) di pusat penamaan calon di Parlimen Ketereh, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - “Saya rasa kuat kerana ada figura hebat berdiri di belakang.” Itu luahan calon BN Parlimen Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin sebaik selesai proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam di sini pada Sabtu.

Marzuani Ardila mengambarkan sokongan padu diterima daripada Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa terhadapnya sejak diumumkan sebagai calon di Parlimen tersebut untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya mempunyai seorang figura hebat yang sentiasa memberikan sokongan.

“Beliau berdiri di belakang saya dan berjanji tidak akan tinggalkan saya bersendirian sepanjang tempoh berkempen sempena PRU15,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam di sini pada Sabtu.

Marzuani Ardila mengakui pada awalnya berasa sedih untuk berjuang pada PRU15 namun kembali bersemangat untuk mempertahankan legasi BN di Ketereh atas sokongan yang diterima.

Khlir (tengah) bersama penyokong-penyokong Pas berarak di pusat penamaan calon pada Sabtu.
Khlir (tengah) bersama penyokong-penyokong Pas berarak di pusat penamaan calon pada Sabtu.

Sementara itu, calon Pas Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor memberitahu akan menggunakan pendekatan berkempen rumah ke rumah dan turun padang berjumpa dengan kelompok rakyat.

Khlir yang juga bekas Ketua Perisikan Tentera Darat selama 11 tahun itu berkeyakinan tinggi dapat menang kerusi Parlimen terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Saya berasal dari Ketereh, jadi tak ada masalah. Orang di sini kenal saya, tentera pun akan sokong saya.

“Annuar Musa tu pun kawan saya, umur lebih kurang walaupun saya masuk politik lambat tetapi kami berkawan dan beliau mesti suka saya,” katanya.

Sementara itu, proses penamaan calon di Ketereh berlangsung aman dan bakal menyaksikan persaingan empat penjuru pada PRU15 antara Khlir, Marzuani Ardila, Haneef Ibrahim (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia) dan Rahimi L Muhamud (Pakatan Harapan).

Pada PRU14, Annuar (BN) menang majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas, Wan Ismail Wan Jusoh dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Mohd Radzi Mohd Jidin.