Empat bekas pendidik bersaing di Hulu Terengganu

Empat calon yang diumumkan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 nanti.
Empat calon yang diumumkan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 nanti.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Parlimen Hulu Terengganu menyaksikan berlakunya persaingan antara empat bekas pendidik merebut kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Rosol Wahid; calon BN, Datuk Rozi Mamat dan calon Pakatan Harapan (PH), Alias Ismail merupakan bekas guru.

Calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Khadri Abdullah pula pernah bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya P038, Adnan Abdullah mengumumkan keempat-empat calon berkenaan sah bertanding di Parlimen Hulu Terengganu pada jam 10.55 pagi.

Lebih 5,000 penyokong calon BN, PN, PH dan Pejuang yang bertanding dalam PRU15 hadir di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu bermula jam 8 pagi.

Mohd Khadri bersama pencadang, Mohd Zawi Ngah dan penyokong Muhamad Ridzuan Fikri tiba pada jam 8.10 pagi diikuti Alias bersama penyokongnya lima minit kemudian.

Rosol pula tiba pada jam 8.20 pagi dan Rozi yang juga ADUN Telemong pada jam 8.55 pagi.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan enam daripadanya dimenangi Pas iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman manakala BN memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kerusi Hulu Terengganu bertukar menjadi milik Bersatu apabila penyandangnya, Rosol keluar UMNO selepas PRU14 dan menyertai Bersatu pada Disember 2018.

Pada PRU14, Rosol yang bertanding atas tiket BN memenangi kerusi Hulu Terengganu dengan majoriti 2,868 undi menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan Datuk Razali Idris yang merupakan calon Bersatu ketika itu.