'Pasangan pengantin' curi tumpuan hari penamaan calon

Mohd Sailan dan Nur Mizatulamni (tengah) bersama penyokong PH di Pusat Penamaan Calon Parlimen Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam pada Sabtu.
Mohd Sailan dan Nur Mizatulamni (tengah) bersama penyokong PH di Pusat Penamaan Calon Parlimen Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Kehadiran penyokong yang mengenakan busana pengantin mencuri tumpuan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Simpang Renggam pada Sabtu.

Mohd Sailan Saidi, 54, dan rakannya Nur Mizatulamni Mohd Rafie, 25, mengenakan busana pengantin berwarna merah bagi memberikan sokongan kepada calon Dr Maszlee Malik (PH-PKR) di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam.

Menurut Mohd Sailan, pakaian pengantin itu merupakan idea Dr Maszlee bagi memberi kelainan, menaikkan semangat dan menceriakan lagi suasana pada hari penamaan calon.

"Agak kelam kabut juga sebab idea ini muncul malam tadi. Mujur rakan saya ada mengusahakan butik pengantin, mudah untuk dapatkan baju pengantin berwarna merah seperti warna bendera PH.

"Memang dari dulu saya sudah terlibat dengan kerja-kerja bersama parti. Cuma kali ini istimewa, sebab saya mengenakan baju pengantin pada hari penamaan calon PRU15," katanya.

Sementara itu, Nur Mizatulamni Mohd Rafie, 25, menyifatkan gimik memakai busana pengantin pada hari penamaan calon PRU15 di Parlimen Simpang Renggam sesuatu yang berbeza dan memberi kenangan indah untuk dirinya.

"Walaupun ia perancangan saat akhir, namun saya berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan busana pengantin pada awal pagi daripada kawan.

"Ini kali pertama saya terlibat sebagai penyokong pada hari penamaan calon. Saya gembira kerana dapat menaikkan semangat penyokong PH," katanya.

Artikel Berkaitan: