Noh tetap setia, kekal sokong BN

Noh (empat dari kanan) memotong riben pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Tanjong Karang di Padang Astaka di Tanjong Karang pada Jumaat.
Noh (empat dari kanan) memotong riben pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Tanjong Karang di Padang Astaka di Tanjong Karang pada Jumaat.
A
A
A

TANJONG KARANG - Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar yang tidak terpilih menjadi calon kerusi Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan berganjak daripada terus berjuang untuk terus menyokong parti itu.

Noh berkata, sebagai ahli parti itu, beliau akan terus setia dan kekal bersama dengan perjuangan BN yang selama ini telah banyak berjasa kepada negara.

"(Walaupun tidak terpilih) saya tidak akan meninggalkan BN dan inilah prinsip yang dipegang untuk terus kekal setia," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Tanjong Karang di Padang Astaka di sini pada Jumaat.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, besar harapannya untuk melihat kemenangan calon BN terutama di Selangor.

"Insya-ALLAH kita cuba yang terbaik dan kita berusaha untuk memastikan jentera BN sedia dan terus kekal menyokong calon ditampilkan parti," ujar beliau.

Ditanya adakah beliau akan mengiringi calon BN Parlimen Tanjong Karang, Noh memberitahu, beliau akan hadir untuk memberikan sokongan kepada calon berkenaan iaitu Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof.

Jelas Noh, walaupun tidak mendapat pas kebenaran masuk ke pusat penamaan calon, namun bertekad untuk bersama-sama jentera memberikan sokongan moral kepada calon Parlimen Tanjong Karang.

"Bagi saya kalau tak dapat masuk dalam dewan pun tak apa, tapi saya tetap datang beri sokongan dan kalau terpaksa duduk bawah pokok pun lagi senang," kata beliau.

Artikel Berkaitan: