Tiada tawaran tanding DUN, fokus PRU15: Mohd Salim

Mohd Salim (lima dari kiri) dijulang penyokongnya sebaik selesai berucap dan menyatakan pendiriannya.
Mohd Salim (lima dari kiri) dijulang penyokongnya sebaik selesai berucap dan menyatakan pendiriannya.
A
A
A

JEMPOL - Tiada tawaran untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Negeri Sembilan tahun depan sekiranya tidak dicalonkan untuk bertanding kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, setakat ini tiada apa-apa tawaran malah fokus kini hanya berjuang mengekalkan kerusi BN di Parlimen Jempol.

Sebenarnya tak ada apa pun yang dijanjikan dekat saya termasuklah tawaran untuk bertanding DUN. Bagi saya terserahlah sebab kadang-kadang kita mengharap sangat, kita rasa kecewa jadi biarlah dinilai macam mana (pemimpin).

"Tetapi saya masih lagi Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA). Pastinya tugas dan tanggungjawab saya membela nasib pekebun kecil, tambahan lagi kita dah sampai musim tengkujuh November dan Disember," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Perjumpaan Ketua UMNO bahagian Jempol bersama kepimpinan UMNO Jempol di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Mohd Salim yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Jempol pada majlis berkenaan turut mengulangi pendiriannya masih setia bersama BN.

Beliau juga memberi jaminan akan berjuang dan memastikan kerusi Parlimen Jempol kekal milik gabungan parti itu walaupun pada dasarnya kecewa apabila tidak dicalonkan pada PRU15.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan terdapat khabar angin mendakwa Mohd Salim bakal memberi kejutan bertanding atas kerusi Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mohd Salim menafikan dakwaan itu selain meluahkan tidak mahu merajuk terlalu lama untuk kebaikan semua pihak.