[VIDEO] Annuar terima banyak tawaran jadi calon

Annuar ketika sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu pada Jumaat.
Annuar ketika sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan beliau menerima banyak tawaran daripada pelbagai parti politik untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Tidak mahu berselindung, saya dapat banyak tawaran dan sekarang ini pun masih ada lagi.

"Ada tawaran bersyarat, tidak bersyarat dan semua kawan-kawan ikhlas menawarkannya kerana mereka suka hendak tengok saya masih menjadi calon," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, sehingga sekarang calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Ketereh dari Bersatu, Mejar (B) Datuk Khilir Mohd Nor masih belum menerima watikah pencalonan.

"Ini kerana tawaran tersebut diberikan kepada saya dan bukannya hendak berahsia tetapi saat ini begitulah," ujarnya.

Beliau berkata, Khilir merupakan kawan dan kenapa beliau perlu 'mencantas' rezekinya.

"Sudah dua tiga malam saya tidak tidur, malah beberapa kali melakukan solat solat Istikharah, namun gelap.

Annuar berkata, beliau akhirnya duduk bersama anak-anak, keluarga, kawan-kawan rapat dan kemudian menjawab tawaran yang diberikan secara bertulis.

Artikel Berkaitan:

"Saya kata berpegang pada prinsip, kalau orang ajak untuk sertai parti tertentu saya 'said no'. Saya tidak boleh hancurkan UMNO.

"Kenapa hendak hancurkan UMNO kerana masalah bukan melibatkan parti tetapi individu, jadi parti lebih penting," katanya.

Annuar menambah, untuk berbuat demikian perlu fikir panjang kerana politik adalah larian jarak jauh bukan pecut 100 meter.

"Bila maraton ada masa laju ada masa perlahan cuma jangan lari keluar padang," katanya.

Pada PRU14, Annuar berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya sebelum itu dengan meraih majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas (Wan Ismail Wan Jusoh) dan PKR (Datuk Dr Mohd Radzi Jidin).

Annuar memperoleh undian sebanyak 25,467 undi, Pas (20,841) dan PKR (6,799).