4 penduduk Palestin terbunuh ditembak tentera Israel

Gambar fail menunjukkan tentera Israel menembak gas pemedih mata di kem pelarian Jenin. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan tentera Israel menembak gas pemedih mata di kem pelarian Jenin. - Foto AFP
A
A
A

JENIN - Tentera Israel membunuh empat penduduk Palestin dalam dua operasi berasingan pada Khamis, kata pegawai perubatan dan keselamatan.

Dua penduduk Palestin ditembak mati oleh tentera Israel di bandar Jenin di utara Tebing Barat dinamakan sebagai Mohammed Samer Khalouf, 14, dan Farouq Salameh, 28.

Kematian itu diumumkan ketika tentera Israel berkata, ia sedang melakukan serbuan di bandar utara Tebing Barat beberapa jam selepas seorang penduduk Palestin yang didakwa menikam seorang pegawai Israel ditembak mati di Kota Lama Baitulmaqdis.

Seorang lagi penduduk Palestin terbunuh awal Khamis dalam pertempuran dengan tentera Israel di barat laut Baitulmaqdis.

Sekurang-kurangnya 34 penduduk Palestin telah terbunuh di seluruh timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat sejak awal Oktober, menurut pengiraan AFP.

Pada awal Khamis, tentera Israel berkata, ia telah menarik balik penutupan selama seminggu di bandar Nablus Tebing Barat yang telah mengganggu perjalanan masuk dan keluar dari bandar itu untuk lebih 200,000 penduduk Palestin.

Hanya beberapa jam selepas penutupan itu ditarik balik, Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh mengetuai delegasi yang terdiri daripada kira-kira 30 diplomat asing termasuk utusan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat serta pegawai Palestin dalam perarakan melalui Kota Lama Nablus.

Beliau berkata bahawa pengepungan selama tiga minggu itu adalah satu bentuk hukuman kolektif oleh Israel. - Agensi

Artikel Berkaitan: