Semarak kesedaran berzakat

Majlis bacaan Yasin turut diadakan sempena pelancaran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang 2022 di Masjid Daerah Seberang Perai Utara di Teluk Air Tawar pada Khamis.
Majlis bacaan Yasin turut diadakan sempena pelancaran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang 2022 di Masjid Daerah Seberang Perai Utara di Teluk Air Tawar pada Khamis.
A
A
A

KEPALA BATAS - Menyemarakkan kesedaran berzakat kepada semua umat Islam di Pulau Pinang menjadi objektif utama penganjuran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang 2022 yang dilancarkan pada Khamis.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, penganjuran kali ke empat program berkenaan dengan lebih 20 aktiviti yang disusun akan memberi manfaat dan impak yang besar kepada pembayar dan penerima zakat khususnya di Pulau Pinang.

Menurutnya, usaha Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang sentiasa proaktif dalam menyampaikan dakwah zakat kepada masyarakat di Pulau Pinang kerana ia merupakan kewajipan yang dipikul oleh mereka sebagai Amil yang dilantik pemerintah untuk menyambung rantaian perjuangan menyampaikan seruan zakat sejak ia dimulai pada zaman Rasulullah.

"Pelaksanaan bulan zakat Negeri Pulau Pinang ini merupakan program dakwah zakat yang berskala tinggi dan bersistematik yang telah terbukti keberhasilannya iaitu meningkatkan jumlah kutipan dan pembayar zakat saban tahun bagi memberdayakan golongan mustahiq menerusi skim agihan zakat yang efisien," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa melancarkan Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang 2022 di Masjid Daerah Seberang Perai Utara, di sini pada Khamis.

Ahmad Zakiyuddin (kanan) ketika melancarkan Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang 2022 di Masjid Daerah Seberang Perai Utara di Teluk Air Tawar pada Khamis.
Ahmad Zakiyuddin (kanan) ketika melancarkan Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang 2022 di Masjid Daerah Seberang Perai Utara di Teluk Air Tawar pada Khamis.

Hadir sama, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata, penganjuran bulan zakat ini akan meliputi 23 aktiviti yang menyantuni pelbagai peringkat golongan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kebanyakan program yang diatur berfokuskan kepada pelaksanaan program-program pembangunan usahawan asnaf dan pemerkasaan asnaf.

Jelasnya, usaha itu bertepatan dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Zakat Pulau Pinang sebagai Ketua Teras Ekonomi Khaira Ummah 2030.

"Pelaksanaan program-program pembangunan dan pemerkasaan asnaf ini boleh saya sifatkan sebagai rejuvenasi pengurusan zakat untuk membangunkan umat Islam menjadi penyumbang utama sektor ekonomi negeri.

"Justeru, saya berharap dengan penganjuran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 ini berjaya mempromosi dan menyebarluaskan informasi berkaitan amalan ibadah zakat dan pengurusannya oleh Zakat Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Amran berkata, penganjuran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang ini bukan sekadar program tahunan ZPP, malah ia merupakan program penting yang mempengaruhi prestasi jumlah kutipan dan pembayar zakat terutamanya pada penghujung bulan Disember.

Beliau berharap impak daripada program-program yang dilaksanakan akan menyemarakkan kesedaran masyarakat Muslim di Pulau Pinang dapat mentaksir harta bagi melaksanakan kewajipan berzakat.

"Pastinya ZPP mahu wujudkan satu ekosistem yang efisien dalam dakwah pengurusan kutipan zakat dan agihan bantuan zakat di Pulau Pinang bagi memastikan golongan pembayar zakat terus memainkan peranan dan golongan penerima pula dapat dibantu bagi meningkatkan taraf hidup," katanya.