Imran Khan terselamat insiden cubaan bunuh

Tangkap layar video yang tular di media sosial menunjukkan Imran Khan terbaring selepas cedera di kaki akibat terkena tembakan dilepaskan penyerang dalam kejadian di daerah Wazirabad. Foto: NDTV.com
Tangkap layar video yang tular di media sosial menunjukkan Imran Khan terbaring selepas cedera di kaki akibat terkena tembakan dilepaskan penyerang dalam kejadian di daerah Wazirabad. Foto: NDTV.com
A
A
A

ISLAMABAD - Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan terselamat daripada cubaan bunuh pada Khamis.

Dalam kejadian di daerah Wazirabad di wilayah Punjab timur itu, Imran cedera pada bahagian kaki selepas terkena tembakan dilepaskan penyerang.

Bagaimanapun, pembantu kanannya, Raoof Hassan mengesahkan kecederaan dialami bekas bintang kriket Pakistan itu tidak serius.

Raoff menambah, penyerang pertama telah ditembak mati manakala penyerang kedua berjaya ditahan polis.

Difahamkan, serangan itu berlaku ketika Imran dalam perjalanan konvoi trak dan kereta menuju ke ibu negara, Islamabad sebagai sebahagian daripada kempennya bertujuan memaksa kerajaan untuk mengadakan pilihan raya awal.

Selepas serangan itu, Imran dipindahkan ke kenderaan lain dari trak kontena dinaikinya, di mana pengumuman dibuat yang menyatakan beliau selamat.

Pengumuman itu turut memaklumkan, sebahagian penyokong daripada partinya, Tehreek-e-Insaf juga cedera.

Serangan itu berlaku kurang seminggu selepas Imran memulakan perarakannya dari Lahore, ibu negara Punjab, bersama ribuan penyokongnya.

Artikel Berkaitan:

Setiap hari dalam apa yang digelar sebagai ‘perarakan yang panjang’, Imran memberikan ucapan kepada pengikutnya dengan berdiri di atas kontena yang ditunda oleh lori di tempat-tempat terbuka di bandar-bandar dan pekan-pekan di sepanjang perjalanan.

Presiden Pakistan, Arif Alvi menerusi ciapan di Twitter berkata, insiden itu merupakan satu cubaan membunuh.

Pada Mei lalu, Imran mendakwa terdapat konspirasi untuk membunuhnya.

Bercakap pada perhimpunan besar-besaran di bandar Sialkot, Imran berkata, beliau telah merakam video dan mendedahkan nama 'dalang' agar ramai orang tahu siapa yang mahu membunuhnya sekiranya rancangan itu berjaya.

"Konspirasi sedang dibuat secara tertutup di dalam dan di luar negara, dan konspirasinya ialah mereka mahu mengambil nyawa Imran Khan.

"Saya telah merakam video dan menyimpannya di tempat selamat. Jika sesuatu berlaku kepada saya, seluruh negara akan menonton video ini... saya telah menamakan semua yang terlibat dalam konspirasi itu menerusi rakaman video," kata Imran. - Agensi