Tiada lantikan segera jawatan CEO Kumpulan AirAsia X

Gambar hiasan - Foto Air Asia X Berhad
Gambar hiasan - Foto Air Asia X Berhad
A
A
A

SYARIKAT sekutu penerbangan jarak sederhana AirAsia Aviation Group, AirAsia X Bhd (AAX) memaklumkan, bahawa ia tidak mempunyai rancangan segera untuk mencari pengganti Tan Sri Tony Fernandes memandangkan pihak pengurusan dan lembaga pengarah akan menyelia operasinya.

Pada 31 Oktober 2022, kumpulan syarikat penerbangan itu mengumumkan Fernandes meletak jawatan sebagai pemangku ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan disebabkan beliau mempunyai komitmen lain.

Pengerusi AAX yang baru dilantik, Tunku Datuk Mahmood Fawzy berkata, syarikat penerbangan ini juga sedang mempertimbangkan kemungkinan mengendalikan perniagaan menerusi jawatankuasa pengurusan (MC) dan lembaga penyeliaan yang melibatkan bukan eksekutif yang lebih bebas.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap CEO AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail dan pasukan pengurusan semasa untuk mengemudi perniagaan tanpa CEO Kumpulan.

"Jika kami mempunyai lembaga pengurusan, kami meletakkan MC untuk bertanggungjawab kepada lembaga pengarah dan lembaga penyeliaan yang menyelia (operasi)...kami akan meneliti bagaimana hubungan itu akan berfungsi.

"Buat masa ini, ia adalah hubungan yang sangat berbeza apabila kami berkembang dan kami perlu berkembang,” katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.

Tunku Mahmood memuji Fernandes atas sumbangan besarnya kepada pertumbuhan AAX -- mengubah keadaan kumpulan syarikat penerbangan yang terjejas teruk kepada kedudukan yang lebih baik selepas penstrukturan semula, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk syarikat mula beroperasi secara menguntungkan dalam jangka masa terdekat.

Peletakan jawatan Fernandes seharusnya tidak dilihat sebagai pengaruh negatif terhadap prospek dan keyakinan pasaran AAX, katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memberi jaminan bahawa Fernandes masih memantau perkembangan syarikat penerbangan itu sebagai ketua eksekutif Capital A Bhd, yang merupakan syarikat pegangan AirAsia Aviation Group.

"Beliau masih ada. Beliau ialah pemegang saham. Beliau tidak melangkah pergi. Saya sentiasa boleh menghubungi Tony (Fernandes) untuk membantu saya,” katanya.

Fernandes telah dilantik sebagai Pemangku CEO Kumpulan selain jawatannya sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif AAX pada Julai 2022. - Bernama