Rosol calon PN di Hulu Terengganu

Muhyiddin (kiri) mengumumkan Rosol sebagai calon PN di Parlimen Hulu Terengganu Rabu malam.
Muhyiddin (kiri) mengumumkan Rosol sebagai calon PN di Parlimen Hulu Terengganu Rabu malam.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Rosol Wahid diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pemilihan Rosol diisytiharkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap dalam Program Jelajah Prihatin PN Hulu Terengganu dan Pelancaran Jentera PRU15 PN Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu pada malam Rabu.

"Saya nak tengok di Hulu Terengganu PN diisytihar menang, calon yang bertanding tidak lain tidak bukan adalah saudara Rosol Wahid untuk kawasan Hulu Terengganu.

"Sepatutnya esok akan diisytihar (calon PN Terengganu) tapi kerana dia calon Bersatu biar saya isytihar beliau adalah calon PN di kawasan Hulu Terengganu," katanya yang juga Presiden Bersatu.

Seramai 3,000 penyokong PN hadir pada majlis itu termasuk Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang, Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris dan Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan enam daripadanya dimenangi Pas iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman manakala BN memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, kerusi Hulu Terengganu bertukar menjadi milik Bersatu apabila penyandangnya, Rosol keluar UMNO selepas PRU14 dan menyertai Bersatu pada Disember 2018.

Pada PRU14, Rosol yang bertanding atas tiket BN memenangi kerusi Hulu Terengganu dengan majoriti 2,868 undi menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan Razali yang merupakan calon Bersatu ketika itu.

Artikel Berkaitan: