'Muka baharu atau lama tak penting, janji boleh berkhidmat'

Gambar hiasan. - Foto Bernama.
Gambar hiasan. - Foto Bernama.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemilihan calon-calon muka baharu mewakili BN di Kedah untuk bertanding pada Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) mendapat reaksi positif pelbagai pihak.

Peniaga, Noni Saad, 46, berkata, calon muka baharu yang ditampilkan BN di Kedah dilihat adalah individu-individu yang giat melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat di kawasan.

"Penyokong akar umbi berpuas hati dengan senarai calon yang diumumkan BN dan akan memberi sokongan penuh pada pilihan raya kali ini.

"Bagaimanapun, status calon sama ada baharu atau lama tidak penting. Apa yang penting calon itu boleh berkhidmat kepada rakyat setelah menang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Eksekutif Penerbangan, Muhammad Ehsan Kamil Mohamad Radzi, 31, pula berkata, komposisi seimbang antara calon penyandang, calon berulang dan penampilan muka baharu mencerminkan usaha BN untuk melaksanakan proses peremajaan parti terutama dalam kalangan ahli Parlimen.

"Berdasarkan penelitian calon yang telah diumumkan, kita dapat melihat lebih 30 peratus calon yang dalam kategori muda adalah strategi parti untuk menarik pengundi baharu dan pengundi pertama kali terutama daripada golongan Undi18.

"Paling penting adalah gerak kerja dan usaha calon-calon tersebut untuk menyantuni pengundi dan meyakinkan pengundi luar untuk pulang melaksanakan tanggungjawab pada 19 November ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Barisan National Youth Volunteer (BNYV) Kedah, Ameerul Zafran Saiful Amir berkata, sebagai orang muda, beliau turut menyokong pemilihan calon- calon muka baharu di Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Pengumuman itu menterjemahkan agenda baharu BN di kedah, malah muka-muka baharu ini juga mempunyai latar belakang berbeza," katanya.

Ameerul Zafran
Ameerul Zafran

Ameerul Zafran yang juga Timbalan Ketua Putera UMNO Malaysia berkata, selain itu calon yang dipilih juga mempunyai rekod perkhidmatan yang baik kepada rakyat setempat sebelum ini.

"Contohnya pemilihan Datuk Hasmuni Hassan iaitu Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu memang tepat kerana memberi servis yang bagus kepada rakyat Kubang Pasu selama ini.

"Sama juga seperti Datuk Suraya Yaacob yang sebelum ini memberi khidmat yang baik kepada rakyat sebagai ADUN Sungai Tiang dan tercalon di Parlimen Pendang," katanya.

Menurutnya, nilai-nilai itu membuktikan BN mengutamakan kualiti calon untuk bersaing pada PRU15 kali ini.

BN mengumumkan calon-calon muka baharu bagi kerusi Parlimen Kedah iaitu Datuk Armishah Siraj bagi kerusi Parlimen Langkawi; Datuk Hasmuni Hassan (Kubang Pasu); Datuk Suraya Yaacob (Pendang); Noran Zamini Jamaluddin (Pokok Sena); Tan Chee Hiong (Alor Setar); Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin (Merbok); Maizatulakmam Othman (Sik) dan Datuk Muhar Hussain (Kulim).