'Sokong Asyraf Wajdi di Gerik'

Akar umbi sifatkan calon yang dipilih oleh kepimpinan parti adalah calon terbaik. (Gambar kecil: Rashid dan Rosnah)
Akar umbi sifatkan calon yang dipilih oleh kepimpinan parti adalah calon terbaik. (Gambar kecil: Rashid dan Rosnah)
A
A
A

GERIK - Pengundi di Parlimen Gerik mahukan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dipilih bertanding di sini dapat membantu merancakkan pembangunan di kawasan Gerik.

Timbalan Ketua UMNO Cawangan Jalan Intan, Abu Bakar Alias berkata, sesiapa sahaja yang bertanding atas tiket UMNO perlu diterima oleh ahli UMNO.

“Apa salahnya kita terima dan bagi sokongan kepada calon orang muda yang dipilih oleh parti demi pembangunan di kawasan ini.

“Kami secara peribadi terima dengan tangan terbuka calon yang diputuskan oleh kepimpinan parti dan sedia menyokongnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai beberapa kepimpinan di Gerik yang didakwa menolak calon luar yang dipilih bertanding di Parlimen Gerik.

Ketua UMNO Cawangan Kampung Plang, Rashid Ariffin berkata, pihaknya sedia memberikan sokongan kepada mana-mana calon asalkan individu berkenaan mempunyai kebolehan dan berwibawa.

Baginya, calon yang dipilih oleh kepimpinan parti adalah calon yang terbaik untuk memastikan UMNO kekal di Parlimen Gerik.

“Kalau calon itu bagus kenapa tidak sokong. Kita jangan biarkan orang dari parti lain menang di sini yang merupakan kubu kuat UMNO,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang pengundi, Rosnah Zubir berkata, dia akan memberikan sokongan kepada pemimpin yang dipilih oleh UMNO.

“Kami terima sahaja dan sedia bekerja untuk memastikan kemenangan calon yang dipilih itu.

“Kita yakin ia merupakan orang muda yang mempunyai masa depan untuk perubahan dalam memajukan kawasan ini,” katanya.