Seminar Penerbitan al-Quran rapat hubungan penerbit, kerajaan

Orang ramai yang hadir ketika program tersebut.
Orang ramai yang hadir ketika program tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Seminar Kawal Selia Penerbitan al-Quran Peringkat Negeri Selangor anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dapat merapatkan hubungan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan syarikat-syarikat penerbitan al-Quran.

Pengasas WUIF, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub berkata, menerusi program itu, ia diharapkan dapat memberikan input pemahaman yang lebih jelas tentang kaedah atau prosedur bagi penerbitan al-Quran yang sah dalam negara ini.

Ujar beliau, program tersebut turut memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kaedah penulisan al-Quran berasaskan Rasm Uthmani yang sebenar.

“Usaha-usaha seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu, sebelum ini kita juga pernah anjurkan program-program sebegini seperti Malaysia Quran Hour dan My #QuranTime.

“Kita juga pada masa lalu ada anjurkan sesi diskusi hadis bersama KDN,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program tersebut di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Hussamuddin (paling kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Penolong Setiausaha Regulatori Al-Quran dan Hadis KDN, Dr Mohd Zamir Bahall.
Hussamuddin (paling kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Penolong Setiausaha Regulatori Al-Quran dan Hadis KDN, Dr Mohd Zamir Bahall.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Regulatori Al-Quran dan Hadis Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dr Mohd Zamir Bahall, Ahli Lajnah Tasheh Al-Quran, Mohd Raof Samsuri serta Pengarah KDN Selangor, Ahmad Hilmi Said.

Jelas beliau, menerusi program-program sebegini ia diharapkan dapat memberikan ruang kepada WUIF dan Karangkraf untuk lebih bergiat aktif dalam penyebaran dakwah kepada masyarakat di Malaysia dengan kerjasama pihak kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Seandainya ada program-program agama yang ingin dianjurkan, kita sebagai media sangat terbuka untuk tawarkan diri bagi menjayakannya,” tambahnya.