PRU15: Exco, anak YB berentap di Sungai Petani

Dari kiri: Mohammed Taufiq Johari,Robert Ling Kui Ee, Shahanim Mohamad Yusoff
Dari kiri: Mohammed Taufiq Johari,Robert Ling Kui Ee, Shahanim Mohamad Yusoff
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerusi Parlimen Sungai Petani P15 dijangka menjadi perhatian kerana bakal ditandingi Exco Kedah dan anak kepada penyandang kerusi itu.

Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Dr Robert Ling Kui Ee (Bersatu) melahirkan rasa syukur diumumkan sebagai calon PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Doktor perubatan yang juga ADUN Sidam lulusan Kolej Perubatan Kasturba, India itu bakal bertemu pesaing dari PH, Dr Mohammed Taufiq Johari (PKR) yang juga seorang doktor dan anak kepada penyandang kerusi P15, Datuk Johari Abdul.

Mohammed Taufiq yang merupakan lulusan Universiti Islam Bandung pada tahun 2020 berkata, mendekati pengundi terutama golongan muda antara sasaran selain prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat.

"Keluh kesah rakyat terutama anak muda akan diberi perhatian dan diperjuangkan terutama berkaitan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat dan membebankan,"katanya.

Biarpun dilihat sebagai muka baharu dalam politik, namun anak keenam dari lapan beradik itu mengakui sudah masak dengan penglibatan karier bapanya.

Berdasarkan rekod, Johari diisytiharkan sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani sejak 2008 dan mengekalkan kedudukan selama tiga penggal berturut-turut selepas memenangi PRU12 dengan majoriti 9,381 undi, PRU13 (2013) dengan majoriti 9,548 undi dan PRU14 (2018) dengan majoriti 21,569 undi.

Pada PRU14, Johari turut menang bagi kerusi DUN Gurun dengan majoriti 4,198 undi dan kini dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah.

Artikel Berkaitan:

Turut mencuri tumpuan di Parlimen Sungai Petani, apabila BN mengumumkan Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff yang ingin mencuba nasib buat kali kedua bertanding di kerusi itu.

Shahanim yang merupakan Pegawai Tuhas-Tugas Khas 1 Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, tewas dengan hanya memperoleh 23,963 undi berbanding Johari yang memperolehi 45,532 undi pada PRU14.

Menurut Shahanim, BN akan memastikan kemenangan bagi membawa lebih banyak manfaat dari segi kemudahan dan pembangunan di bandar Sungai Petani yang kini sedang pesat membangun.

Sementara itu, dua lagi exco Kedah turut diumum bertanding iaitu Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail di Parlimen Kubang Pasu manakala Exco Pertanian dan Industri Makanan, Pengangkutan, Perladangan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasrudin di Parlimen Padang Serai.