[VIDEO] GRS-BN umum 24 calon bertanding PRU15

GRS-BN mengumumkan seramai 24 calon yang akan bertanding di Parlimen pada PRU15.
GRS-BN mengumumkan seramai 24 calon yang akan bertanding di Parlimen pada PRU15.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN mengumumkan seramai 24 calon yang akan bertanding di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengumuman bagi kedua-dua parti itu dilakukan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis pengumuman calon PRU15.

Bung Moktar mengumumkan seramai 11 calon bagi kerusi Parlimen dan seorang lagi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Hajiji pula mengumumkan seramai 13 calon membabitkan parti di bawah gabungannya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

BN mengumumkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dicalonkan bagi kerusi Parlimen Kota Belud manakala tiga menteri kabinet Sabah iaitu Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya kekal mempertahankan kerusi beliau di Parlimen Kinabatangan.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Parlimen Kimanis dan Pensiangan.

BN turut mengemukakan calon muka baharu bagi Parlimen Sepanggar iaitu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya bagi kerusi Parlimen Sepanggar.

Selain itu, BN turut menamakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching bagi kerusi Parlimen Beaufort, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar bagi kerusi Tenom dan ADUN dilantik Datuk Suhaimi Nasir bagi kerusi Parlimen Libaran.

Artikel Berkaitan:

Calon lain iaitu Datin Maizatul Akmam Alwi dicalonkan bagi kerusi Parlimen Lahad Datu, Aslam Fadli Samsul Alang bagi kerusi Parlimen Kalabakan dan calon bagi kerusi DUN Bugaya Abdul Aziz Mohd Ibnu.

Sementara itu, GRS pula mengumumkan Presiden PBS merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu dan Presiden STAR merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mempertahankan kerusi Parlimen Keningau manakala Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin mempertahankan kerusi Parlimen Ranau.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dinamakan sebagai Parlimen Tuaran, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ruddy Awah bagi Parlimen Kudat dan Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah yang juga bekas ADUN Lumadan, Datuk Matbali Musah bagi kerusi Parlimen Sipitang.

GRS turut mengemukakan muka baharu iaitu Yee Tsai Yiew bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Kenny Chua Teck Ho (Penampang), Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Lau Chi Keong (Sandakan), Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Semporna, Nixon Abdul Habi (Semporna) dan Lo Su Fui (Tawau).