Isam mahu rampas semula Tampin, Jalaluddin optimis di Jelebu

Mohd Isam (kiri) dan Jalaluddin
Mohd Isam (kiri) dan Jalaluddin
A
A
A

TAMPIN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd Isam Mohd Isa diumumkan sebagai calon BN kerusi Parlimen Tampin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pemilihan Mohd Isam dikatakan bertepatan dengan kehendak akar umbi yang mahukan calon kerusi berkenaan dalam kalangan pemimpin tempatan sekali gus merampas kembali kerusi Parlimen Tampin yang ketika ini diduduki oleh Pakatan Harapan (PH) selepas menang pada PRU14.

Mohd Isam ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu meluahkan rasa syukur dan memberi jaminan akan bekerja keras untuk memastikan kerusi Parlimen Tampin kembali kepada BN.

"Kita berkeyakinan penuh untuk menang dan merampas semula Parlimen Tampin daripada PH sebab sokongan (akar umbi parti) yang amat cukup hebat, tak ada bilik gerakan tutup, tiada sabotaj, tak ada yang merajuk. Semua tak ada. Itu lagi menguatkan untuk kita berjuang," katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga penyandang kerusi Parlimen Jelebu kekal mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya ini.

Jalaluddin dalam satu kenyataan menjelaskan kepercayaan yang diberikan oleh parti itu tidak akan disia-siakan.

"Saya akan terus berusaha dan bertekad untuk meningkatkan harakat kualiti kehidupan rakyat di Parlimen Jelebu tanpa mengira darjat, pangkat, keturunan dan bangsa.

"Semoga kita semua mampu gerak bersama untuk memberi kestabilan dan kemakmuran buat tanah beradat kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Manickam
Manickam

Sementara itu, Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L Manickam turut berkeyakinan kerusi Parlimen Port Dickson mampu dirampas walaupun pihak lawan iaitu PH mempertaruhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dari PKR.

"Kita mencalonkan Datuk P Kamalanathan di Port Dickson, kita tidak gentar lawan Menteri Besar malah jentera kita sememangnya sudah bersedia untuk menjalankan tugas pada PRU15 ini," katanya.