GTA kemuka 121 calon Parlimen, 40 peratus golongan muda

Dr Mahathir (tiga dari kanan) pada Majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA-Pejuang di Pusat Konvensyen Bangi pada Rabu.
Dr Mahathir (tiga dari kanan) pada Majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA-Pejuang di Pusat Konvensyen Bangi pada Rabu.
A
A
A

BANGI - [DIKEMAS KINI] Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan nama Parti Pejuang Tanah Air pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengemukakan calon di 121 kerusi Parlimen.

Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 40 peratus calon muda dan selebihnya pelbagai peringkat umur.

"Calon GTA terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, bekas kakitangan awam dan juga perseorangan," katanya.

Marzuki
Marzuki

Menurutnya, GTA turut mempertimbangkan calon di beberapa kerusi Parlimen lain yang akan diumumkan kelak.

"Untuk kerusi DUN, ia akan diumumkan oleh pucuk pimpinan negeri," katanya dalam ucapan pada majlis pengumuman calon GTA, di sini pada Rabu.

Berdasarkan senarai, Pejuang mewakili 60 kerusi dan 34 kerusi Parlimen untuk Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebanyak 11 kerusi dipertaruhkan untuk Gagasan Bangsa yang menghimpunkan badan-badan bukan parti manakala Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mewakili lapan kerusi dan empat kerusi bagi Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, GTA menampilkan 16 calon wanita untuk kerusi Parlimen yang ditandingi.

Calon 'heavy weight' GTA di kerusi- kerusi strategi yang dilihat mampu memberi kelebihan kepada gabungan itu antaranya, Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen Langkawi.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula mengekalkan kedudukannya sejak 2018 di Parlimen Jerlun yang menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Beliau kembali bertemu dengan seterunya pada PRU14 iaitu calon BN, Datuk Othman Aziz serta calon PN Datuk Abd Ghani Ahmad dan PH, Dr Mohamed Fadzil Mohd Ali.

Antara calon lain, Pengerusi GTA Pahang, Aminuddin Yahaya (Temerloh), ADUN Batang Kali Harumaini Omar (Hulu Selangor), Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa).

Terdapat juga calon yang terdiri daripada pegamal undang-undang yang ditampilkan GTA antaranya iaitu Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah), Muhammad Rafique Rashid Ali (Shah Alam) dan Nizam Bashir Abdul Kariem (Batu Pahat).

Paling menarik, GTA turut mengangkat tiga selebriti tempatan bagi merebut kerusi Parlimen masing-masing di Selangor dan Negeri Sembilan.

Pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof yang juga Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan diletakkan di Sabak Bernam, pengarah terkenal, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri pula dinamakan sebagai calon kerusi Port Dickson.

Sementara, pelakon yang juga Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando dipertaruhkan di Tanjung Karang.