Sedia pikul tugas ditinggalkan Najib di Pekan

Sh Mohamed Fuzi Sh Ali dan Mohd Nizar
Sh Mohamed Fuzi Sh Ali dan Mohd Nizar
A
A
A

KUANTAN - Calon BN bagi kerusi Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohamed Fuzi Sh Ali yakin mampu menggalas tugas yang ditinggalkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Pekan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Menurutnya, segala perancangan dan usaha akan terus digerakkan bagi memantapkan perkara-perkara yang sewajarnya dilaksanakan di daerah itu.

"Bagi saya pengalaman berkhidmat sebagai pegawai yang menjaga hal ehwal Pekan sepanjang beliau (Najib) menjadi Perdana Menteri akan memudahkan gerak kerja untuk berkhidmat kepada rakyat di sini.

"Pada masa sama, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya di bawah Parlimen Pekan selama dua penggal, semua hal ehwal berkait daerah dan penduduk Pekan ini sudah sebati dalam diri saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon-calon BN Negeri Pahang bagi PRU15 oleh Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini pada Rabu.

Sh Mohamed Puzi antara calon yang menjadi tumpuan pada PRU15 kerana diberi tanggungjawab memikul tugas ditinggal Najib yang menyandang kerusi itu sejak 1976.

Sementara itu katanya, pandangan sesetengah pihak yang beranggapan pemilihan beliau sebagai calon di Parlimen Pekan telah menamatkan legasi Tun Abdul Razak bukan satu isu.

"Walaupun saya bertanding di sini, anak beliau, Datuk Mohd Nizar turut tercalon di kerusi DUN Peramu Jaya jadi tiada sebarang isu timbul dalam hal ini," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sh Mohamed Puzi yang dijangka berdepan persaingan lebih dari tiga penjuru bagi mempertahankan kerusi itu mengakui tiada masalah untuk berdepan lawannya.

"Soal lawan, saya mudah sahaja kerana sebagai sebuah negara demokrasi, siapa sahaja berhak bertanding dan memperjuangkan parti masing-masing.

"Saya yakin demokrasi segar pada PRU15 ini dan sedia menghadapi siapa pun calon lawan yang bertanding di kerusi ini nanti," ujarnya.

Selain BN, Perikatan Nasional (PN) turut mengumumkan calonnya dari Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim manakala Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di kerusi itu selain calon bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin.

Sementara itu, Mohd Nizar berkata, sebagai antara calon baharu diberikan peluang oleh BN untuk bertanding di kerusi DUN di Pahang, beliau akan bersama-sama membantu memperkukuhkan kerajaan negeri jika diberi peluang oleh rakyat untuk berkhidmat di DUN yang diumumkan.

"Kami akan terus membantu kerajaan negeri meneruskan agenda membela dan mensejahterakan rakyat di negeri ini.

"Saya sendiri akan fokus kepada usaha membangunkan anak muda dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran golongan itu selain membantu menarik pelaburan baharu ke kawasan Pekan," katanya.

Beliau berkata, walaupun usaha itu tidak mudah, beliau akan tetap usahakan demi kepentingan penduduk di Pekan amnya dan Pahang khususnya.