Tidak mahu dibayangi populariti bapa

Mohd Ridhwan menunjukkan poster biodata beliau di Pejabat BN Parlimen Hang Tuah Jaya di Bukit Katil, Melaka pada Rabu.
Mohd Ridhwan menunjukkan poster biodata beliau di Pejabat BN Parlimen Hang Tuah Jaya di Bukit Katil, Melaka pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Bakal calon BN Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Ali tidak mahu bersandarkan kepada popularti bapanya untuk berkhidmat kepada rakyat di Parlimen itu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berkata, selepas bapanya, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam kalah di Parlimen itu pada PRU14 lalu, beliau terus bekerja demi rakyat biarpun ketika itu di bawah kerajaan pembangkang.

Tanpa mengira kaum katanya, pasukannya terus bergerak mengatur strategi termasuk turun padang bersama masyarakat dan menyelesaikan isu-isu setempat.

"Untuk bergerak membawa mandat rakyat bukan kerja satu orang tapi berpasukan. Kita perlu ada satu pasukan yang kuat," katanya pada sidang akhbar di Pejabat BN Parlimen Hang Tuah Jaya di Bukit Katil di sini pada Rabu.

Ditanya mengenai pemilihan beliau sebagai calon, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, hanya mengetahui keputusan akhir itu pada lewat petang Selasa, sejam sebelum pengumuman dilakukan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah menurutnya, sebelum membuat keputusan penting itu, beliau terlebih dahulu mendapat restu ibu bapanya serta keluarga.

"Saya terkejut dan ketika itu kepimpinan BN Melaka sudah bergerak ke PWTC.

"Bila dapat panggilan untuk jumpa Presiden, kebiasaannya kita dah dapat agak. Apabila bertemu di bilik Setiausaha Agung, di situ dimaklumkan secara lisan," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

PRU kali ini bakal menyaksikan Mohd Ridhwan berusia 36 tahun akan disaingi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim dan Ketua Bahagian PN Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris.

Pada PRU14, penyandang Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memperoleh 39,067 undi sekali gus menewaskan Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam (BN) dan Dr Khalid Kassim (Pas) dengan majoriti 8,640 undi.

Bekas Ketua Penerangan PKR itu turut mempertahankan kerusi itu selama dua penggal selepas pertama kali bertanding pada PRU13.