'Saya serah jiwa, tabur bakti buat warga Kuala Langat'

Ahmad Yunus
Ahmad Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Dengan nama ALLAH SWT, saya serahkan segala masa, jiwa saya untuk menabur bakti dan budi buat warga Kuala Langat, kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang diberi kepercayaan bertanding di Parlimen Kuala Langat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang itu tersenarai sebagai calon Perikatan Nasional (PN) yang diumumkan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini pada Selasa.

Dr Ahmad Yunus berkata, pencalonan tersebut diterima kerana mahu melaksanakan amanah demi kesejahteraan dan kedaulatan anak bangsa serta agama.

Menurutnya, kepercayaan yang diberikan itu membolehkan beliau menapak selangkah lagi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) ke Parlimen untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Sudah 14 tahun menyandang kerusi DUN Sijangkang bermula tahun 2008. Ketika itulah bermulanya hari-hari saya untuk memikirkan rakyat dan warga Sijangkang yang sentiasa dalam perhatian.

"14 tahun mandat yang diberikan oleh rakyat Sijangkang, terima kasih kerana mempercayai saya. 14 tahun mengajar saya menjadi wakil rakyat yang banyak isu diperjuangkan dan diselesaikan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, pencalonan tersebut diharap mendapat sokongan pengundi dan memohon rakyat mendoakan kejayaannya untuk melebarkan khidmat.

Selain Dr Ahmad Yunus, nama yang dicalonkan bagi kerusi tersebut adalah M Mohana (MIC) dan Manivanan Gowin (PKR).

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Parlimen Kuala Langat disandang Datuk Dr Xavier Jayakumar atas tiket PKR dengan majoriti 17,112 menewaskan Shahril Sufian Hamdan (BN) dan Yahya Baba (Gagasan Sejahtera).

Dr Xavier bagaimanapun mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti itu pada 13 Mac lalu dan bergerak sebagai ahli Parlimen Bebas.