Dua lelaki seleweng dana kerajaan ditahan

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan dua lelaki, seorang daripadanya penjawat awam bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan ke atas wang peruntukan Kerajaan Perak bernilai RM3.5 juta.

Kedua-dua lelaki terbabit masing-masing berusia 44 dan 39 tahun ditahan sekitar jam 4.30 petang, hari ini di Pejabat SPRM negeri selepas hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati, penjawat awam di pentadbiran kerajaan negeri bersama seorang pengurus perancang majlis terbabit terlibat dalam penyelewengan bagi kerja-kerja pembekalan semasa penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

"Penjawat awam berusia 44 tahun itu dikatakan turut menerima rasuah melebihi RM165,000 daripada pembekal-pembekal yang dipilih untuk pembekalan dan sewaan acara temasya sukan berkenaan.

"Kedua-duanya kini disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009," katanya.

Menurutnya, dalam kes sama, SPRM turut menahan empat pengurus syarikat berusia antara 40 hingga 77 tahun selepas dipercayai terlibat dalam penyelewengan terbabit.

"Mereka bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan selepas percakapan direkodkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi, mengesahkan penahanan dua lelaki berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap dua suspek itu di Mahkamah Ipoh, esok," katanya.