KTMB tawar penjimatan sehingga 33 peratus ke utara

Musa (tengah) dan Mohd Rani (kanan) melancarkan Pas Perjalanan Bulanan KTM Komuter Sektor Utara di Stesen KTM Bukit Mertajam pada Selasa.
Musa (tengah) dan Mohd Rani (kanan) melancarkan Pas Perjalanan Bulanan KTM Komuter Sektor Utara di Stesen KTM Bukit Mertajam pada Selasa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pengguna Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui perkhidmatan komuter utara bakal menikmati penjimatan kos perjalanan sehingga 33 peratus bagi pas perjalanan mingguan dan bulanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, ia merupakan salah satu inisiatif pihaknya untuk meringankan beban pengguna pengangkutan awam itu di zon utara.

Menurutnya, pas tersebut adalah bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth dan Padang Rengas-Butterworth-Padang Rengas.

"Pas ini akan memberi penjimatan kepada pengguna iaitu penjimatan kos perjalanan sehingga 33 peratus berbanding pembelian tiket harian.

"Pas yang disifatkan mesra rakyat ini adalah satu inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh KTMB dalam usaha memberi kemudahan perjalanan yang lebih mampan dan menjimatkan kepada pengguna komuter utara, khususnya.

"Inisiatif ini turut mengambil kira kos sara hidup yang semakin mencabar di samping menggalakkan pengguna menggunakan pengangkutan awam," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pas Perjalanan Bulanan KTM Komuter Sektor Utara di Stesen KTM Bukit Mertajam pada Selasa.

Pelancaran tersebut disempurnakan Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Kata Mohd Rani, pas itu melibatkan 38 perjalanan sehari bagi laluan-laluan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Setakat Oktober tahun ini, seramai 1,333,602 pengguna telah berdaftar dengan sistem aplikasi pembelian tiket, KTMB Integrated Ticketing System (KITS). Kini pengguna tidak perlu lagi beratur di kaunter untuk mendapatkan tiket harian mereka. Dengan adanya pas ini, ia dapat melancarkan perjalanan harian mereka dengan cepat dan selamat.

"Bagi menggalakkan penggunaan pas mingguan dan bulanan ini, KTM Komuter juga mengadakan Program Pemilihan Penumpang Bertuah bagi mereka yang mendapatkan pas bulanan terawal melalui atas talian. Pemilihan dibuat berdasarkan rekod pembelian pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rani berkata, KTMB akan menambah 10 jumlah perjalanan kepada 32 perjalanan sedia ada bermula 18 hingga 20 November ini.

"Sekarang kita ada 32 jumlah perjalanan iaitu daripada KL Sentral-Padang Besar. Kita akan tambah 10 lagi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini menjadikan jumlah keseluruhan 42 perjalanan. Bagaimanapun, tiada diskaun tambang ditawarkan.

"Kita juga akan sediakan perkhidmatan tren khas Keluarga Malaysia ke Pantai Timur iaitu KL Sentral- Tumpat, pada tempoh yang sama iaitu 18 hingga 20 November. Ini adalah inisiatif bagi memberi kemudahan kepada mereka yang akan pulang ke negeri masing-masing, untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15," katanya.