Rodziah tawar sembilan visi jika menang di Ampang

Rodziah
Rodziah
A
A
A

AMPANG - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menawarkan sembilan visi besar untuk direalisasikan jika beliau memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menerusi satu kemas kini di Facebook berkata, antara visi tersebut ialah pembangunan manusiawi, melestarikan alam sekitar, selain kegiatan sosial, perniagaan serta pekerjaan yang tersusun dan seimbang.

Selain itu, beliau juga ingin membina fasiliti awam yang mudah diakses, selamat, mesra keluarga dan lestari, selain menjadikan usahawan sebagai komponen utama mempromosikan bandar.

"Saya ingin menjaga kualiti unik gabungan warna warni kaum, budaya dan sejarah di Ampang, selain menyediakan latihan kemahiran profesional untuk anak muda, wanita dan orang kurang upaya (OKU).

"Saya juga ingin meningkatkan potensi pendapatan isi rumah dan kebajikan yang menyeluruh.

"Jika semua visi ini direalisasikan, Ampang akan menjadi sebuah kawasan Parlimen yang mempunyai indeks kebahagiaan tinggi seterusnya menjadikan kehidupan rakyat di sini lebih sejahtera," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga itu diumumkan sebagai ‘panglima’ PKR bagi merampas kembali ‘kerusi pengkhianat’ yang dibawa lari susulan Langkah Sheraton.

Dalam Majlis Pengumuman Calon PKR yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas pada Jumaat, Amirudin dinamakan sebagai calon bagi Parlimen Gombak, sekali gus dijangka berdepan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam PRU15.

Artikel Berkaitan: