Jangan sabotaj jika tidak terpilih calon PRU15

Othman (berdiri) berucap semasa perjumpaan bersama anggota Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pering, Jerlun pada Selasa.
Othman (berdiri) berucap semasa perjumpaan bersama anggota Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pering, Jerlun pada Selasa.
A
A
A

JERLUN - Semua ahli UMNO diminta untuk terus teguh di belakang parti dan tidak melakukan sabotaj ke atas calon UMNO dan BN yang dipilih bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, pimpinan di semua bahagian juga perlu berjiwa besar dan berlapang dada untuk memenangkan calon parti itu bagi membantu membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

"Nasihat saya kepada rakan-rakan yang tidak dipilih janganlah kecewa sebab ini adalah proses biasa dan di Kedah, kita ada satu lagi pilihan raya lepas ini di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sudah tentu pihak parti juga akan menilai sejauh mana komitmen sokongan bakal-bakal calon DUN ini kepada calon Parlimen yang akan bertanding pada 19 November nanti, jadi kita hendak semua pihak utamakan parti," katanya pada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perjumpaan bersama anggota Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pering, dekat sini.

Othman berkata, calon-calon yang dipilih bagi menghadapi PRU15 diyakini adalah yang terbaik selepas melalui proses tapisan dan penilaian dibuat oleh pucuk pimpinan UMNO dan BN.

Menurutnya, pemilihan calon mengambil kira pelbagai aspek antaranya mempunyai ketokohan membawa panji BN di samping tidak mempunyai masalah yang boleh merugikan parti selepas calon itu diumumkan.

"Beliau mesti tidak ada masalah sama ada daripada segi kebankrapan, masalah dari segi pinjaman hutang piutang, masalah dari segi kredibiliti SPRM, masalah dari segi harta seperti Perdana Menteri sebut, dan masalah dengan Mahkamah Syariah.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita tidak mahu apabila calon kita diumumkan, diwartakan menjadi calon sah mewakili BN tiba-tiba timbul isu-isu yang boleh menguntungkan pihak lawan," ujar Othman Lagi.

Jelas beliau, ahli parti juga diminta untuk berlapang dada dan tidak mencetuskan masalah sekiranya calon pilihan raya PRU15 bukan di kalangan pemimpin bahagian masing-masing.