'Messi Terengganu' kekal bersama TFC

Muhammad Faiz Nasir.
Muhammad Faiz Nasir.
A
A
A

PERKHABARAN mengenai perpindahan pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Muhammad Faiz Nasir ke pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim depan ternyata khabar angin.

Pemain yang popular dengan gelaran 'Messi Terengganu' itu memilih untuk kekal bersama skuad Penyu bagi tempoh dua tahun lagi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Sdn Bhd (TFCSB), Ab Rasid Jusoh sebaik sahaja majlis menandatangani kontrak selesai malam tadi.

Menurut Ab Rasid, TFC memutuskan untuk menawarkan lanjutan kontrak kepada Muhammad Faiz selepas berpuas hati dengan aksi cemerlang yang dipamerkan oleh pemain itu sepanjang tempoh tiga tahun berkhidmat dengan TFC.

"Aksi cemerlang beliau membantu skuad Penyu merangkul gelaran naib juara Piala FA musim ini dan layak ke saingan Piala Konfederansi Asia (AFC) tahun depan.

"Khidmat beliau pastinya ditagih untuk terus memberi impak positif kepada skuad Hitam Putih yang kini dalam misi memburu kejuaraan Piala Malaysia," katanya.

Sementara itu, Muhammad Faiz yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata beliau memilih untuk terus bersama TFC kerana selesa dengan semua aspek kejurulatihan dan pengurusan diterapkan oleh pasukan itu.

Selain itu, beliau juga ingin merebut peluang beraksi di pentas bola sepak lebih tinggi, iaitu Piala AFC yang dijadualkan bermula pertengahan tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Bukan senang mendapat peluang beraksi di pentas besar seperti Piala Asia. Syukur dan terima kasih kepada TFCSB yang memberi kesempatan ini," katanya.

Muhammad Faiz, 30, memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional bersama pasukan Kelantan pada 2013.

Sebelum Terengganu, beliau pernah beraksi bersama pasukan seperti FELCRA FC dan Selangor, selain turut menyarung jersi kebangsaan pada 2019. - Bernama