Jika wanita jadi calon PM Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SUKA atau tidak, Parlimen sudah dibubarkan dan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pula ditetapkan pada 19 November ini. Parti mana yang menang akan membentuk kerajaan dan pastinya isu pelantikan Perdana Menteri akan menjadi tumpuan selepas itu.

Apabila disebut jawatan Perdana Menteri ini, jika dilihat menerusi kajian Ilham Centre, nama-nama seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim antara popular dalam kalangan responden.

Alangkah menariknya jika ada dalam kalangan wanita yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri. Sekurang-kurangnya menunjukkan peranan kaum wanita di negara ini semakin besar apabila boleh memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan.

Tapi, nampaknya seperti orang tidak berminat atau mungkinkah Malaysia ketiadaan calon wanita yang benar-benar berkredibiliti untuk disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri? Atau mungkin sukar untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa wanita juga berkeupayaan memikul jawatan berat tersebut?

Paling tinggi pun, hanya jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang pernah disandang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) lalu.

Masih ingat pada tahun lalu, Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel) berhasrat mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menetapkan 67 kerusi Parlimen untuk calon wanita pada PRU15.

Pengasasnya, Datuk Zuraida Kamarudin menyatakan bahawa cadangan tambahan kerusi untuk wanita itu bagi mencapai sasaran keterlibatan 30 peratus wanita di Parlimen. Daripada 222 keseluruhan kerusi Parlimen, hanya 67 kerusi diminta untuk diisi oleh wanita-wanita hebat.

Apakah terlalu tinggi harapan atau cadangan dianggap ‘mengada-ngada’ jika mengusulkan wanita sebagai calon Perdana Menteri kerana sememangnya untuk memegang jawatan tersebut bukanlah mudah. Tanggungjawabnya amatlah berat.

Artikel Berkaitan:

Ketinggalan

Di Malaysia belum ada ruang untuk membuktikan kemampuan wanita dalam mengurus krisis sebagai Perdana Menteri kerana situasi tersebut tidak pernah berlaku. Bak kata orang, usahkan menjadi calon, disebut orang pun tidak.

Setakat ini golongan wanita hanya menyaksikan polemik berterusan beberapa ahli politik lelaki dalam isu Perdana Menteri. Bahkan dalam keadaan semasa menjelang PRU15 tidak lama lagi, yang tengah panas membincangkan isu jawatan TPM. Mungkin juga terdapat calon wanita disenaraikan jika benar ia dilaksanakan, sekali gus mengulangi pencapaian Dr Wan Azizah.

Memperkatakan mengenai penglibatan wanita dalam politik, Malaysia masih dianggap ketinggalan berbanding Indonesia dan Thailand. Walhal dengan perkembangan pelbagai sektor termasuk aspek pendidikan, rasanya sudah boleh meletakkan wanita di kedudukan sebagai pembuat keputusan dalam Parlimen serta kabinet negara.

Apa pun, sejauh mana insentif telah diberikan kepada parti politik untuk pembangunan wanita seterusnya mencalonkan mereka dengan lebih ramai. Manisnya jika ada nama wanita disebut sebut sebagai calon heavyweight bagi jawatan Perdana Menteri. Sukarkah mencari pemimpin wanita yang menepati ciri ciri winnable (menang), acceptable (diterima) dan likeable (disukai) berdasarkan kepimpinan yang mantap?

Dalam era kini, persoalan berhubung pemimpin pelapis dalam kalangan wanita diharapkan tidak terus menjadi bualan memandangkan setakat ini tiada nama pemimpin daripada kaum hawa disenaraikan sebagai pilihan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri.

Di kesempatan ini juga, penulis berharap agar pada 19 November ini, rakyat Malaysia tidak ragu-ragu untuk mengundi calon wanita yang dilihat boleh memimpin dan menjalankan tugas dengan baik. Pilihlah calon berdasarkan personaliti dan bukan gender.

Dalam kita berangan-angan hendak meletakkan wanita sebagai calon Perdana Menteri, carilah wanita sejati iaitu bijak, baik hati, berkredibiliti menjadi pemimpin.

Selamat mengundi!

* Anita Abu Hasan ialah Penerbit Program di Sinar Harian