Lelaki terlibat gaduh curi baja disambung reman

Laporan Sinar Harian sebelum ini. (Gambar kecil: Mohd Yusri)
Laporan Sinar Harian sebelum ini. (Gambar kecil: Mohd Yusri)
A
A
A

IPOH - Lelaki yang terlibat dalam pergaduhan berkaitan kes curi baja hingga menyebabkan kematian di Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Parit Buntar minggu lalu disambung reman lima hari lagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, perintah reman yang dilanjutkan sehingga Sabtu ini diperoleh bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Reman suspek berusia 40 tahun itu yang tamat pada Isnin disambung selama lima hari sehingga 5 November ini untuk menjalankan siasatan.

"Beberapa individu dipanggil termasuk saksi bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.

Pada 24 Oktober lalu, pergaduhan dua lelaki berkaitan kes curi baja berakhir dengan kematian seorang daripada mereka dalam kejadian di Bagan Tiang, Tanjung Piandang.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, mangsa berusia 47 tahun dikatakan rebah di tepi jalan selepas bergaduh sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Punca pergaduhan adalah disebabkan mangsa menuduh suspek mencuri baja miliknya.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian lelaki yang maut itu akibat kecederaan tulang belulang dan jantung fibrosis.

Artikel Berkaitan:

Kecederaan tulang belulang dialami mangsa adalah berpunca daripada hentakan objek tumpul dan keras seperti batu, kayu atau besi.