Reman lelaki tertembak rakan ketika memburu disambung

Laporan Sinar Harian pada Sabtu
Laporan Sinar Harian pada Sabtu
A
A
A

JELEBU - Tempoh reman seorang lelaki yang tertembak rakannya disangka seekor kijang ketika mereka sedang berburu di kawasan hutan berhampiran Muka Sauk, Kuala Klawang di sini disambung tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, suspek yang berusia 52 tahun sebelum itu direman selama enam hari sehingga Ahad, namun disambung sehingga 7 Mei ini.

"Ia bagi membolehkan polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 61 tahun meninggal dunia selepas terkena tembakan rakannya kira-kira jam 5 pagi 24 April lalu.

Suspek telah memaklumkan kejadian itu ketika menyerah diri pada jam 10.30 malam di Balai Polis Titi pada hari kejadian.

Siasatan polis mendapati, suspek dan mangsa berusia 61 tahun telah masuk ke kawasan hutan untuk berburu dengan membawa senjata api buatan sendiri.

Bagaimanapun suspek telah tertembak mangsa yang disangka kijang.