MSN tuntut atlet elak kontroversi doping

Atlet Para Sukma yang memeriahkan temasya selama enam hari di Kuala Lumpur bermula pada Selasa. - Foto FB MSN
Atlet Para Sukma yang memeriahkan temasya selama enam hari di Kuala Lumpur bermula pada Selasa. - Foto FB MSN
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) mahu para atlet yang menyertai Sukan Para Malaysia (Para Sukma) 2022 di Kuala Lumpur bermula esok untuk mengelakkan daripada sebarang kontroversi yang melibatkan isu doping.

Justeru Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengingatkan para atlet untuk mematuhi saranan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) agar mengisytiharkan segala bahan perubatan yang mereka ambil.

MSN dan ADAMAS sudah mengadakan siri pembentangan kepada semua kontinjen mengenai perkara berkenaan dan berharap temasya kali ini bebas daripada sebarang isu penggunaan bahan terlarang.

“Kita faham atlet para ada menggunakan bahan-bahan perubatan bagi merawat kekurangan. Mereka sudah pun diberikan taklimat dan dimaklumkan mengenai perkara ini.

“Jadi, kita berharap mereka sudah mengambil langkah seperti yang dinasihatkan oleh ADAMAS supaya mengisytiharkan ubat-ubatan yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka agar ia tidak dianggap sebagai satu kesalahan dalam doping sekiranya dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Selamat Datang dan Menaikkan Bendera Kontinjen Para Sukma 2022 di MSN Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Isnin.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Para Sukma 2022 yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Pada Sukma 2022 September lalu menyaksikan tiga atlet angkat berat membabitkan dua dari Terengganu dan seorang dari Perlis diuji positif doping sekali gus dilarang bertanding pada temasya edisi ke-20 itu.

Artikel Berkaitan:

Temasya Para Sukma 2022 yang bermula Selasa sehingga 6 November akan mempertandingkan sebanyak 10 jenis sukan membabitkan 294 acara dengan penyertaan 15 kontinjen negeri.

Mengulas persiapan penganjuran Para Sukma, Ahmad Shapawi berkata, pihaknya sudah mempunyai pelan alternatif sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan sepanjang temasya berlangsung.

“Kami sudah berbincang mengenai perkara ini. Sekiranya cuaca tidak menentu, kita akan cuba menyusun semula jadual pertandingan. Seboleh-bolehnya kita tetap mahu menghabiskan temasya kali ini pada 6 November.

“Namun, kita akan tengok dulu keadaan dan sekiranya berlaku apa-apa yang menyebabkan pertandingan tertangguh, kita akan ada pelan alternatif. Pada masa sama kita berdoa agar cuaca tidak menghalang penganjuran Para Sukma kali ini,” ujarnya.