Jumlah pengundi di Selangor meningkat lebih 50 peratus

Sesi Taklimat Pilihan Raya Petugas Media Menghadapi PRU15 Peringkat Selangor disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademi Pilihan Raya (APR), Norlinah Jamal.
Sesi Taklimat Pilihan Raya Petugas Media Menghadapi PRU15 Peringkat Selangor disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademi Pilihan Raya (APR), Norlinah Jamal.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah pengundi di Selangor untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meningkat sebanyak 52.3 peratus berbanding PRU14.

Timbalan Pengarah Pejabat Pilihan Raya Selangor, Kamarul Azman Ahmad Sabri berkata, jumlah pengundi di Selangor pada PRU kali ini ialah seramai 3.6 juta pengundi berbanding 2.4 juta pada PRU14.

Menurutnya, peningkatan tersebut didorong oleh pelaksanaan Undi18 yang membolehkan pengundi pada umur tersebut didaftarkan secara automatik.

"Pertambahan pengundi seramai 1.2 juta orang ini adalah selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran secara automatik.

"Ia juga menjadikan Selangor sebagai negeri yang mempunyai pengundi paling ramai mendaftar pada PRU ini," katanya selepas Taklimat Pilihan Raya Petugas Media Menghadapi PRU15 Peringkat Selangor di Dewan Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada Isnin.

Kamarul Azman
Kamarul Azman

Dalam pada itu, Kamarul Azman turut memaklumkan kawasan Parlimen P.102 Bangi mencatatkan pengundi paling ramai di Selangor iaitu seramai 303,430 orang.

Katanya, Parlimen P.092 Sabak Bernam pula merekodkan jumlah pengundi terendah sebanyak 51,609 orang.

Artikel Berkaitan:

"Kali ini kita mewartakan sebanyak 22 lokasi menempatkan pusat penamaan calon (PPC) seperti Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen 19 di sini; Dewan Utama Demense di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat dan lain-lain.

"Ada tempat yang menempatkan PPC dengan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU), ada yang berbeza," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Azman berkata, seramai 56,707 petugas pilihan raya dilantik untuk bertugas sepanjang PRU15.

Katanya, jumlah tersebut turut dipertingkat daripada kira-kira 35,000 orang pada PRU14 berdasarkan peningkatan jumlah pengundi dan saluran undian kali ini.