'Bertenang...senarai calon BN NS tular tidak benar'

Senari nama yang tular di aplikasi WhatsApp.
Senari nama yang tular di aplikasi WhatsApp.
A
A
A

SEREMBAN - Senarai nama calon Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang tersebar adalah tidak benar.

Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Mustafa Salim berkata, ini kerana senarai nama untuk kesemua calon yang akan bertanding di lapan kerusi Parlimen di negeri ini masih belum dimuktamadkan.

"Saya menafikan senarai itu. Ini kerana belum ada lagi keputusan rasmi daripada Ibu Pejabat UMNO.

"Jadi sebaiknya kita tunggu saja pengumuman rasmi semua calon BN yang saya difahamkan akan dibuat oleh pimpinan parti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada esok (Selasa)," katanya.

Mustafa memberitahu, disebabkan senarai nama yang tidak benar itu, terdapat beberapa pemimpin UMNO negeri ini yang datang berjumpanya untuk mendapatkan kepastian.

Ujar Mustafa, mereka dinasihatkan untuk bertenang namun perlu akur apa sahaja yang akan diputuskan oleh parti.

"Esok (Selasa) akan jadi keputusan sebenar. Bagi pandangan saya apa yang akan diputuskan itu nanti adalah yang terbaik dan kita sebagai ahli parti perlu akur.

"Kita jangan melihat atas dasar individu tapi atas dasar parti. Itu yang penting jika kita mahu menang dalam PRU15 ini kerana parti telah melihat dari pelbagai aspek sebelum meletakkan calon," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan senarai yang tular, nama Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang sebelum ini disebut kemungkinan bertanding di Port Dickson, Kuala Pilah atau Tampin tiada dalam senarai.

Nama penyandang Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif juga tidak disenaraikan dan diganti dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli.

Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias kekal di Parlimen Jelebu manakala Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan disenaraikan bertanding di Parlimen Rembau.

ADUN Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan disenaraikan sebagai calon Parlimen Kuala Pilah dan ADUN Gemas, Abdul Razak sebagai calon Parlimen Tampin.

Turut disenaraikan Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Siew Koi Voon sebagai calon Parlimen Seremban; Ketua MCA, Ng Kian Nam kekal sebagai calon Parlimen Rasah dan Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L Manickam di Parlimen Port Dickson.