Orang muda cabar Tok Mat di Rembau

Mohamad, Jufitri, Mohd Nazree
Mohamad, Jufitri, Mohd Nazree
A
A
A

SEREMBAN - Setiausaha Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus disebut-sebut sebagai calon gabungan itu bagi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut sumber, buat masa ini hampir pasti Mohd Nazree yang akan bertanding di kerusi berkenaan dan pemilihannya sebagai calon dipersetujui oleh Pas Negeri Sembilan dan pimpinan PN.

"Beliau merupakan Ketua Bersatu Rembau dan Ketua Badan Perhubungan PN Rembau telah pun memulakan gerak kerja mendekati pengundi di Rembau.

"Lagi pun dalam tiga nama yang dihantar oleh Bersatu Rembau sebagai calon kepada pimpinan parti, beliau yang dilihat paling berpotensi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambahnya, Mohd Nazree juga tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi yang berada dalam Parlimen Rembau dan mengusahakan pusat pengajian al-Quran di Senawang manakala bapanya anak kelahiran Kota, Rembau.

"Kita tunggulah, pengumuman calon akan dibuat di bilik operasi PN di Nilai, kemungkinan pada hari Selasa atau Rabu ini.

"Nampaknya gelanggang PRU15 di Rembau kali ini akan menyaksikan pertembungan dua calon muda dengan Tok Mat," katanya.

Buat masa ini parti yang telah mengumumkan calonnya bertanding di kerusi berkenaan ialah Pakatan Harapan (PH) yang diwakili calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha.

Artikel Berkaitan:

Bagi BN pula, hampir pasti ia diwakili Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat selepas penyandang Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersedia melepaskannya.

Selain itu, Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan menyatakan telah menyenaraikan nama bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai calon.

Bagaimanapun pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang akhbar di Senawang di sini baru-baru ini memberitahu masih belum berjumpa secara peribadi dengan Abdul Hamid bagi membincangkan soal itu.