MPN kemuka lima cadangan utama kepada kerajaan

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob menunjukan kertas cadangan yang dikemukakan MPN kepada kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob menunjukan kertas cadangan yang dikemukakan MPN kepada kerajaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengutamakan isu keselamatan makanan dalam memastikan sumber makanan penduduk di negara ini berada pada tahap optimum.

Tanah-tanah di bawah kerajaan negeri harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghasilkan bahan makanan sekali gus mengelak kebergantungan kepada bahan import.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata, jika perkara itu diutamakan bekalan makanan di negara ini bukan sahaja mencukupi malah dapat mengurangkan kesan inflasi.

“Tahun 1970, kita ada rancangan Buku Hijau. Program (sekarang apa) kena kurangkan import, perkara ini perlu ada respons yang cepat untuk mengatasi inflasi,” katanya pada sesi temu bual bersama media di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sentral di sini pada Khamis.

Justeru katanya, setiap kerajaan negeri juga harus memanfaatkan hasil bumi, malah menjadi tanggungjawab mereka memperuntukkan tanah-tanah khusus kepada pertanian bagi menghasilkan bahan makanan terutama bahan yang sering diimport.

“Inflasi menyebabkan rantaian bekalan global terjejas dari segi pergerakan logistik. Sebagai contoh, bekalan bijirin Ukraine terjejas akibat perang. Ini secara tidak langsung meningkatkan kadar inflasi di Eropah dan Amerika Syarikat dan kesannya turut dihadapi negara kata.

“Bahan-bahan yang dikeluarkan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp.) juga mesti lebih murah daripada bahan import.

“Begitu juga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kita beli barang tempatan dan hasilkan barangan yang boleh ganti barangan import,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, memperkasakan keselamatan makanan antara lima keputusan penting yang diputuskan oleh MPN dan perlu diambil tindakan segera oleh pihak kerajaan agar dapat mempercepatkan kadar pemulihan sosioekonomi negara selepas pandemiK Covid-19.

Empat lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah:

- Isu kekurangan pekerja di sektor pembinaan, perladangan, pembinaan, pembuatan, pelancongan, perkhidmatan.

- Memudahkan pinjaman dan pelaksanaan PMKS.

- Mengatasi masalah keciciran pembelajaran.

- Naik taraf infrastruktur pelabuhan.

Isu pekerja asing

Sementara itu Sulaiman berkata, isu kekurangan pekerja asing wajar ditangani segera berikutan jumlah kemasukan pekerja asing ke Malaysia terlalu sedikit berbanding jumlah levi sudah dibayar berjumlah RM713,890 bagi 467,223 kuota diluluskan.

“Statistik kelulusan kuota dan pembayaran levi hingga 12 September merekodkan 467,223 kuota diluluskan, namun bagi tempoh sama hanya menyaksikan 76,000 kemasukan tenaga kerja dari 12 negara.

“Angka itu terlalu sedikit berbanding jumlah levi sudah dibayar RM713,890 bagi 467,223 kuota diluluskan,” katanya.

Sulaiman (kiri) bersama Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Mesyuarat MPN.
Sulaiman (kiri) bersama Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Mesyuarat MPN.

Beliau meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengkaji semula proses pengambilan tenaga kerja asing kerana banyak sektor mempunyai tahap kebergantungan yang sangat tinggi.

"Kita dapati ramai pekerja memohon dan membuat pembayaran, namun jumlah yang masuk adalah kurang. Persoalannya, mengapa mereka belum lagi tiba?

“Adakah ia melibatkan masalah di negara mereka, atau sebab lain. Perkara ini perlu ditekankan, jika tidak sektor pertanian kita khususnya kelapa sawit akan terus mengalami masalah kekurangan pekerja," tegasnya.

Sulaiman turut meminta kerajaan memberi tumpuan kepada masalah kekurangan tenaga kerja terutama dalam industri intensif buruh seperti sektor pembuatan, pelancongan, pembinaan dan peruncitan, termasuk sektor elektronik dan pertanian.

Tingkatkan pelaburan

Malaysia perlu menggalakkan pelaburan dan perdagangan global kerana ia menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat bagi memastikan pemulihan ekonomi negara terus meningkat, kata Sulaiman.

Ujarnya, golongan PKS dan PMKS memerlukan perhatian khusus kerajaan kerana mereka merupakan punca perkembangan pelaburan domestik bagi negara.

"PKS dan PKMS paling teruk terjejas disebabkan pandemik berbanding syarikat multinasional yang boleh bergerak dengan kos pekerja yang lebih rendah.

"Kita mahu mereka berkembang kepada syarikat peringkat pertengahan dan seterusnya menyokong syarikat multinasional serta menjadi pemain industri global," katanya.

Sulaiman (kanan) berbincang dalam satu mesyuarat bersama Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sulaiman (kanan) berbincang dalam satu mesyuarat bersama Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berkenaan cadangan pemberian moratorium khas kepada PKMS, Sulaiman berharap kerajaan yang bakal dibentuk kelak turut melihat isu ini kerana PKS merupakan komponen kritikal dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau mencadangkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dengan penglibatan Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sedia mempertimbangkan lanjutan pemberian moratorium kepada sektor PMKS.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mendedahkan 95 cadangan telah dibuat oleh MPN, di mana 86 daripadanya telah diluluskan oleh kabinet, manakala sembilan cadangan masih menunggu keputusan kabinet.

Daripada jumlah itu, 69 peratus adalah berkaitan isu utama seperti kesihatan, ekonomi dan sosial manakala 26 peratus lagi berkaitan hal pengurusan dan pentadbiran.

"Daripada 69 peratus itu, 16 cadangan atau 23 peratus telah selesai dilaksanakan, 30 cadangan atau 43 peratus masih dalam pelaksanaan, manakala 14 cadangan atau 20 peratus masih belum dilaksanakan.

“Keseluruhannya, hampir 66 peratus dilaksanakan, ‘things are moving’ dan kebanyakan cadangan diterima kabinet," jelasnya.

INFO:

Sejak ditubuhkan pada 21 Julai 2021 sehingga mesyuarat terakhir pada 29 Ogos 2022, sebanyak 95 cadangan telah dikemukakan MPN kepada kerajaan:

- 86 cadangan: Diluluskan kabinet

- 9 cadangan: Proses kelulusan kabinet

- 69 cadangan: Isu-isu penting /ekonomi dan sosial

- 26 cadangan: Hal berkaitan pentadbiran