Ancelotti berang pengadil hadiah penalti kepada Girona
PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti mengkritik tindakan pengadil perlawanan yang menhadiahkan sepakan penalti kepada lawannya ketika seri menentang Girona 1-1 dalam saingan LaLiga awal pagi tadi.
Menurut Ancelotti, beliau mendakwa pengadil perlawanan sengaja memberikan sepakan penalti kepada Girona tanpa sebab meskipun bola tidak terkena tangan pemainnya dalam kotak penalti.
“Saya tidak suka bercakap mengenai perkara ini, tetapi saya akan bercakap mengenainya. Ia agak jelas bahawa ia bukan penalti kerana bola itu tidak mengenai tangannya cuma mengenai dadanya.
“Tangan kirinya berada dalam kedudukan yang pelik, dan jika dia menyentuh bola dengan tangannya mungkin ada keraguan. Tetapi dia tidak melakukannya.
“Mereka (pengadil) menciptanya dan situasi tersebut nyata menjejaskan permainan kami pada perlawanan ini,” ujarnya.
Pada aksi tersebut, Real terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain sayapnya pada minit ke-70.
Bagaimanapun, keputusan kontroversi pengadil yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Girona nyata tidak disia-siakan pelawat apabila Christian Stuani berjaya menyempurnakannya sekali gus menyaksikan Real terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!