Majoriti pengundi Cina pilih PH

Kecenderungan pengundi Cina berdasarkan kajian Huayan.
Kecenderungan pengundi Cina berdasarkan kajian Huayan.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasil kaji selidik oleh Huayan Policy Institute Centre for Malaysia Chinese Studies (Huayan) mendapati Pakatan Harapan (PH) terutama DAP kekal menjadi gabungan paling popular dan pilihan utama pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) nanti.

Bagaimanapun, kajian Huayan juga menunjukkan sokongan pengundi Cina kepada PH kini menurun kepada 65 peratus berbanding 95 peratus pada PRU14.

Selain itu, kurang daripada separuh atau 47.3 peratus daripada responden Cina percaya DAP masih mampu memperjuangkan hak mereka.

Menurut kajian berkenaan lagi, sokongan pengundi Cina kepada BN terutama MCA masih rendah tetapi berita baiknya ialah ia meningkat 10 peratus berbanding PRU14 sekali gus membuka ruang kepada mereka menang lebih banyak kerusi pada PRU15 nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Kunci kemenangan sudah jelas

Pengarah Akademik Huayan, Profesor Madya Dr Chang Yun Fah berkata, biarpun majoriti pengundi Cina masih menyokong PH namun ia tidak memberi jaminan bahawa pembangkang akan menang PRU15 dan kembali berkuasa di Putrajaya.

Berikutan itu, Yun Fah berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan DAP meletakkan ramai calon Melayu bagi menarik pengundi menyokong PH pada PRU15.

Yun Fah
Yun Fah

"Tidak cukup jika PH hanya bergantung kepada sokongan pengundi Cina, sebab kali ini peluang PH lebih bergantung kepada pengundi muda dan sama ada mereka dapat menarik undi Melayu atau tidak?

Artikel Berkaitan:

"Strategi DAP meletakkan calon Melayu (seperti Syahredzan Johan di Parlimen Bangi dan Young Syefura Othman di Parlimen Bentong) adalah jelas bertujuan menarik pengundi Melayu dan menunjukkan mereka bukan sebuah parti yang menentang orang Melayu," katanya kepada Sinar Premium.

ARTIKEL BERKAITAN: 43 peratus akan buat keputusan saat akhir

Dalam pada itu, Yun Fah menegaskan orang Cina kekal menyokong DAP kerana parti itu kurang bersikap perkauman dan memperjuangkan hak semua kaum secara sama rata.

"Mereka masih setia dengan PH kerana gabungan berkenaan dilihat kurang perkauman, memperjuangkan hak semua rakyat, bukan ikut keturunan kaum. Ini juga disokong oleh hasil soal selidik di mana pengundi Cina menolak pergabungan UMNO-Pas-Bersatu dan MCA-DAP-Gerakan," katanya.

Yun Fah berkata, kajian Huayan juga mendapati terdapat 5 peratus pengundi Cina belum membuat keputusan untuk mengundi mana-mana gabungan parti politik sama ada BN, PH, PN dan GTA dalam PRU15.

Malah, Yun Fah berkata, golongan berkenaan mungkin tidak akan keluar mengundi pada 19 November nanti.

"Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada pengundi muda yang sama ada kecewa dengan keadaan politik sekarang ataupun pengundi kali pertama.

"Bagaimanapun, kami meramalkan tidak akan berlaku tsunami politik besar-besaran membabitkan pengundi atas pagar, sebaliknya pengundi muda baru yang akan menjadi king maker menentukan gabungan parti mana bakal menang PRU15 dan membentuk kerajaan baharu kelak," katanya.

Beliau berkata, antara isu yang mempengaruhi undi mereka ialah tawaran kestabilan politik dan integriti, serta isu kos sara dan pemulihan ekonomi.