Makin tua usia, makin tinggi harganya

Yamaha RXZ - Foto Wikipedia
Yamaha RXZ - Foto Wikipedia
A
A
A

SEMALAM Merak duduk bersembang dengan seorang kawan yang masa muda-muda dulu dia suka layan motor.

Ketika itu, sekumpulan anak muda yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ melintasi kami.

Merak tanya kawan Merak itu, berapa harga motor RXZ sekarang ini? Dia terus cakap, harganya tak masuk akal.

Mula-mula Merak tak percaya dan terkejut besar bila kawan Merak beritahu motor RXZ yang sudah lama menghilang dari dunia mat motor kini dijual sampai harga cecah puluhan ribu ringgit.

Rupa-rupanya motosikal RXZ ini sudah menjadi buruan ramai peminat motosikal di seluruh negara sampai sudah bermacam-macam page berkaitan motosikal itu di media sosial.

Katanya, sebuah motosikal RXZ buruk pun boleh cecah harga RM10,000 sehingga RM15,000! Kalau yang RXZ recond pula, harganya sampai RM25,000 hingga RM35,000.

Tapi yang lagi gila ikutkan cerita kawan Merak, kalau Yamaha RXZ kategori new old stock, ada orang letak harga sampai RM100,000 tunai! Dahsyat sungguh motosikal legenda rempit era 80an itu.

Merak sendiri macam tak percaya barang lama macam itu harganya boleh cecah dari puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit. Lebih mahal daripada harga sebuah kereta baharu.

Artikel Berkaitan:

Orang yang masih simpan motosikal RXZ itu boleh jadi kaya kalau dia jual balik jentera lama itu.

Maknanya mereka yang minat dan kegilaan terhadap motosikal RXZ ini bukan kaleng-kaleng. Mereka sanggup berhabis duit semata-mata kerana minat mendalam kepada motosikal. Senang cakap zaman sekarang ini kalau nak jadi mat rempit pun poket pun kena tebal dan bukan jenis pokai macam zaman dulu lagi.

Lagi satu, yang kita boleh ambil pengajaran bahawa barang lama tak semestinya tak ada harga. Ada sesetengah barang itu makin tua usianya, nilai makin tinggi.