Tok Mat perlu berterus terang: Rafizi

Hamparan Facebook Rafizi hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO yang juga calon BN PRK DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan perlu berterus terang tentang kes memindahkan wang berjumlah RM10 juta ke London melalui pengurup wang yang dilaporkan berlaku pada 2008.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, terdapat kemungkinan pemindahan itu menyalahi undang-undang walaupun Mohamad menjelaskan bahawa pemindahan wang itu untuk tujuan pembelian pangsapuri di London dan menafikan sebarang salah laku.

Rafizi berkata, jika dipindahkan mengikut saluran biasa yang tidak melanggar undang-undang, Mohamad perlu mengisytiharkan sumber RM10 juta tersebut.

“Semasa pemindahan wang RM10 juta itu berlaku, sekitar tahun 2007 ke 2008, peraturan pemindahan wang keluar negara adalah seperti yang terkandung di dalam Laporan Tahunan 2007 Bank Negara Malaysia (muka surat P6), iaitu bagi rakyat Malaysia yang tidak mempunyai hutang dalam negara, tidak ada halangan untuk memindahkan wang membeli apa-apa harta di luar negara, tanpa ada had.

“Bagi rakyat Malaysia yang mempunyai hutang dalam negara dan menukar wang ringgit ke mata wang asing untuk membeli harta di luar negara, had pemindahan dan pembelian adalah sebanyak RM1 juta sahaja setiap tahun,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mohamad nafi salah guna kuasa

Beliau berkata, jika Mohamad tidak mempunyai hutang dalam negara pada ketika itu, beliau boleh terus memindahkan RM10 juta mengikut kaedah bank biasa tanpa melanggar apa-apa peraturan.

“Tetapi kalau Tok Mat (Mohamad) ada mempunyai hutang, jika beliau hendak memindahkan RM10 juta untuk membeli kediaman di London itu, sudah tentu beliau tidak boleh melakukannya kerana hadnya adalah RM1 juta sahaja.

“Kalau Tok Mat ada mempunyai hutang dalam tahun 2007, tindakan beliau memindahkan wang sebanyak RM10 juta untuk membeli kediaman di London itu memang telah melanggar peraturan. Jika didapati bersalah, beliau boleh dihukum denda dan penjara,” katanya.

Jadi katanya, Mohamad perlu berterus terang menyatakan sumber kewangan itu dan menjelaskan mengapa pemindahan itu melalui pengurup wang dan bukannya saluran biasa.

“Tok Mat bercita-cita menjadi Perdana Menteri kerana yakin strategi memainkan isu perkauman oleh gabungan Pas-UMNO akan berjaya.

“Saya nasihatkan jika Tok Mat mahu terus bercita-cita menjadi perdana menteri, lebih baik Tok Mat berterus-terang dari sekarang mengenai sebab musabab beliau memindahkan wang RM10 juta itu secara sembunyi, sedangkan Tok Mat kan kaya?” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulkefly minta Tok Mat disiasat

Yang Di Pertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar ketika berceramah di Taman Kelab Tunku Ahad lalu, mempersoalkan sebab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum mengambil tindakan terhadap Mohamad mengenai dakwaan kes pemindahan duit membabitkan pengurup wang.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan SPRM perlu membuka semula siasatan skandal RM10 juta berkenaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia