Beri peluang muka baharu di Gopeng

Dr Lee Boon Chye lepaskan Parlimen Gopeng selepas empat penggal

Boon Chye, Kar Hing
Boon Chye, Kar Hing
A
A
A

IPOH - Memberi peluang kepada orang muda menjadi alasan penyandang kerusi Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye melepas kerusi Parlimen itu sejak memenanginya pada tahun 2004.

Menurutnya, keputusan untuk tidak mahu bertanding telah dimaklumkan kepada pimpinan tertinggi parti sebelum pemilihan calon dibuat.

Jelas beliau, keputusan tersebut muktamad kerana mahu parti mengemukakan lebih ramai calon muka baharu pada PRU15.

"Keputusan tidak bertanding ini dibuat kerana saya ada urusan peribadi berkaitan kerjaya untuk diselesaikan.

"Pada masa sama saya beranggapan anak muda perlu diberikan peluang untuk menjadi calon dan memimpin. Itulah yang saya lakukan di kerusi Parlimen Gopeng," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, Boon Chye berkata, keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencalonkan Pengarah Pilihan Raya PKR Perak, Tan Kar Hing untuk bertanding di kerusi Parlimen Gopeng amat wajar.

Katanya, mereka telah lama bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan memandangkan Kar Hing penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai.

Beliau berkata, Perak mempunyai harapan yang cerah untuk kembali ditadbir oleh PH apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kar Hing ketika dihubungi menjelaskan kepercayaan diberikan kepada parti untuk bertanding di kerusi Parlimen Gopeng merupakan satu tugas berat.

Katanya, menyambung legasi empat penggal Boon Chye di kawasan Parlimen Gopeng bukan sesuatu yang mudah tetapi perkhidmatan yang terbaik akan diberikan kepada pengundi di kawasan itu.

Beliau berkata, sungguh pun dia adalah calon baharu bagi kerusi Parlimen itu, kerja-kerja yang dilakukan ketika menjadi ADUN Simpang Pulai amat membantu dalam menyantuni penduduk setempat.