'Pindah kawasan bukti tidak beri khidmat terbaik'

Ismail Sabri bersama kepimpinan UMNO pada kenduri rakyat Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Sabtu.
Ismail Sabri bersama kepimpinan UMNO pada kenduri rakyat Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sikap pemimpin pembangkang yang suka berpindah kerusi bertanding membuktikan mereka tidak mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di sesebuah kawasan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, ia jelas menunjukkan mereka (pemimpin pembangkang) tidak yakin dengan perkhidmatan yang diberikan kepada pengundi sebelum ini.

Beliau berkata, maklum dengan pertukaran kerusi melibatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Port Dickson dan kini bertanding di Parlimen Tambun, Perak.

"Ada ramai (pemimpin pembangkang) yang berpindah-randah. Saya pun tidak tahu kenapa mereka (pembangkang) suka berpindah-pindah, mungkin tidak yakin dengan perkhidmatan yang diberikan kepada pengundi.

"Ini menyebabkan mereka pergi ke tempat lain dan membuat janji serta mempengaruhi pengundi di tempat baharu," katanya ketika kenduri rakyat Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian apabila ditanya percaturan pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) yang bertindak menukar kawasan calon melibatkan kerusi tumpuan termasuk Parlimen Bagan Datuk.

Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera mendakwa sekiranya pembangkang bertanding di kerusi yang sama berkemungkinan mereka tidak boleh membohongi pengundi disebabkan kegagalan memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Tambahnya, kepimpinan UMNO tidak pernah menukar kerusi untuk bertanding kerana yakin telah perkhidmatan yang terbaik kepada pengundi di kawasan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau mereka tidak memberikan perkhidmatan kepada pengundi di situ (di sebuah kawasan) mereka tidak boleh hendak janji lagi sebab rakyat tidak percaya.

"Macam saya bertanding di Bera sejak 2004 dan masih bertanding di Bera. Saya ini PM (Perdana Menteri) mungkin saya minta dipindahkan ke tempat lebih selamat, kalau saya tak beri perkhidmatan kepada rakyat di Bera, saya takut bertanding di tempat yang sama kerana janji saya tidak akan diterima.

"Tetapi saya kekal, kalau tengok semua calon UMNO, hampir semua kekal di tempat sama sebab kita selama ini telah memberikan perkhidmatan yang terbaik. Kalau kita berjanji untuk berikan perkhidmatan lain pun mereka yakin kepada kita," jelas beliau lagi.