KASA kaji pembangunan sumber air secara optimum di Kelantan

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM226.7 juta bagi perkhidmatan air di bawah Rolling Plan 1 dan 2 Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Kelantan.

Keseluruhan projek meliputi kerja kajian dan perlaksanaan yang berkaitan dengan sumber dan bekalan air di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia meliputi Program NRW Negeri Kelantan, kajian pembangunan sumber air, pembinaan loji rawatan air di Kampung Telok, pembinaan ‘low weir’ di Sungai Pahi dan Sungai Pengkalan Datu.

“Kajian pembangunan sumber air yang sedang dijalankan ini penting bagi mengenal pasti dan membangunkan sumber air secara optimum.

“Selain itu, kajian yang dijalankan juga boleh menjadi asas untuk memohon pelbagai projek sumber dan bekalan air yang berprioriti tinggi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Karnival KASA @ Kubang Kerian Sejahtera bertempat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini pada Jumaat.

Tambahnya, kerajaan juga meluluskan dua projek tebatan banjir secara ‘off budget’ di negeri ini iaitu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 2 dengan anggaran kos berjumlah RM1.9 bilion.

“Manakala, PLSB Sungai Golok Fasa 3 dengan anggaran kos projek sebanyak RM472 juta.

“Projek tebatan banjir secara ‘off budget’ ini adalah bukti kesungguhan kerajaan untuk mencari solusi tuntas mengurangkan risiko banjir yang dialami saban tahun di negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: