Piala Sultan Johor: Malaysia, Jepun sama hebat

Kobayashi diasak beberapa pemain Malaysia pada perlawanan Hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya pada Jumaat. - Foto Bernama
Kobayashi diasak beberapa pemain Malaysia pada perlawanan Hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD remaja lelaki negara menamatkan saingan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2022 dengan keputusan seri 2-2 menentang Jepun di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru pada Jumaat.

Pasukan lawan terlebih dahulu di depan menerusi sentuhan Masato Kobayashi pada minit ke-34.

Skuad remaja bangkit menyamakan kedudukan lima minit kemudian hasil jaringan Muhammad Amirul Haniff Mamat.

Malaysia kemudian menggandakan jaringan pada minit ke-43 menerusi ledakan Shahmie Irfan Suhaimi.

Impian skuad bimbingan, Muhamad Amin Rahim untuk meraih kemenangan tidak kesampaian apabila Jepun menyamakan kedudukan menerusi Ikumi Saeki pada minit ke-47.

Kejohanan itu menjadi pentas berguna untuk para pemain meraih pengalaman dalam usaha mempersiapkan mereka bagi menghadapi Piala Dunia Hoki Remaja, November tahun depan.

SOJC adalah siri pertama perlawanan antarabangsa mereka selepas dua tahun terhenti berikutan pandemik Covid-19.

Malah, satu kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum ini memaklumkan kejohanan itu adalah aksi antarabangsa pertama bagi kebanyakan pemain.

Artikel Berkaitan:

Anak buah Muhammad Amin membuka kempen di bumi Johor dengan langkah kiri apabila tewas 2-5 kepada India, sebelum dibelasah 0-8 Australia diikuti tunduk 1-3 kepada Afrika Selatan kemudian dijinakkan Great Britain, 2-4.

Piala Sultan Johor 2022

Malaysia 2-2 Jepun

34' PC Masato Kobayashi

39' PC Muhammad Amirul Haniff Mamat

43' PC Shahmie Irfan Suhaimi

47' PC Ikumi Saeki