Penyertaan GTA beri nilai tambah atau menumpang?

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Penyertaan Gerakan Tanah Air (GTA) dalam mana-mana gabungan politik harus dilihat secara menyeluruh sama ada ia memberi nilai tambah atau sekadar menumpang populariti pihak lain.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, pendirian GTA yang seakan memberi bayangan untuk menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) wajar dinilai secara menyeluruh.

Menurutnya, tindakan GTA tersebut seolah ‘tersepit’ dan menyamai Pas yang sebelum ini berhasrat untuk terus menjalin kerjasama dalam PN dan Muafakat Nasional (MN) namun hakikatnya ia sesuatu yang mustahil.

“Terpulang kepada Majlis Presiden PH untuk buat keputusan akhir sama ada mahu menerima GTA atau tidak. Bagi saya, menjadi tanda tanya sebab sekejap mahu dengan PN, sekejap pula dengan PH. Kita pun tak tahu apa sebenarnya pendirian GTA,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilapor mengesahkan rundingan antara parti itu dengan PN masih berjalan namun perbincangan tersebut tidak melibatkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, pada Khamis, Muhyiddin tampil menegaskan bahawa tidak ada perbincangan rasmi membabitkan PN dan GTA untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebaliknya PN telah memutuskan akan meneruskan inisiatif dengan gabungan dalam parti itu sahaja.

Pada masa sama, Dr Mahathir yang juga Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyatakan kesediaan bertemu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi PRU15, walaupun perbuatan itu kelak ibarat ‘menjilat semula ludah sendiri.’

Namun Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tangkas menegaskan, PH sedia menghadapi PRU15 sebagai gabungan tanpa penglibatan Mahathir walaupun kedua-duanya berkongsi tujuan sama untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).

Artikel Berkaitan:

Mengulas perkembangan itu, Anwar menegaskan tiada masalah bertemu dan berbincang dengan Mahathir mengenai kerjasama politik namun perkara yang ditekankan PH ialah kepentingan melawan PN dan BN.

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Pengerusi PH Kedah mempersoal kesanggupan GTA untuk bertanding di 120 kerusi Parlimen namun pada masa sama mahu mengadakan rundingan bersama gabungan lain.

“Mungkin Pejuang sudah merasai yang mereka tidak ada kekuatan untuk dapatkan jumlah undi yang munasabah. Pada PRN Johor, banyak kerusi mereka hilang pertaruhan dan ini sudah tentu tidak memberikan kelebihan kepada Pejuang menyebabkan parti itu perlu bergantung kepada orang lain.

“Pihak lain pula termasuk PH sudah tentu harus mengkaji setiap pelawaan sama ada, ada nilai tambah atau tidak. Kalau tiada, hanya nak menumpang, kena fikir jugalah, sejauh mana manfaat yang akan diperoleh PH. Semua itu harus ada pertimbangan lebih luas,” ujarnya.

Mahfuz berkata, sekiranya mahu diadakan kerjasama rentas gabungan, ketika itu semua pihak harus berlapang dada dan berjiwa besar selain elakkan daripada menuntut perkara-perkara tertentu.

“Jika tidak, akhirnya kita berada dalam keadaan Parlimen tergantung dan tidak boleh membentuk kerajaan, ini mendatangkan kerugian besar kepada negara.

“Akta anti lompat parti yang diluluskan dapat bantu elakkan kerajaan tumbang di tengah jalan. Selepas PRU, semua parti harus ada keterbukaan. Jika tidak ada mana-mana parti dominan boleh membentuk kerajaan, tidak ada pilihan melainkan menyelamatkan Malaysia dengan wujudkan kerajaan campuran,” katanya.

Menurutnya, parti yang bergerak solo dan menang sekalipun tiada masalah untuk jalin kerjasama politik selepas PRU, kerana ia memang sifat mana-mana negara dalam keadaan tidak ada parti yang boleh membentuk kerajaan.

“Hanya sikap bertolak ansur dapat menyelamatkan negara pada ketika itu,” jelas beliau.