Lans Koperal cedera dirempuh suspek dadah

Mangsa yang cedera dirawat di HUSM.
Mangsa yang cedera dirawat di HUSM.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera di kepala selepas dirempuh seorang lelaki bermotosikal dalam sekatan jalan raya di Jambatan Pok Nik Lah, Pengkalan Chepa, malam kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 11.30 malam membabitkan Lans Koperal Md Faizal Md Bakr, 29, yang dalam tugasan Op Lejang dari Ibu Pejabat Polis Kota Bharu.

Suspek berusia 27 tahun tersebut turut cedera di kepala dan patah jari telunjuk tangan kanan.

Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, suspek sebelum itu menunggang motosikal dari arah Binjai ke Pengkalan Chepa terkejut melihat sekatan jalan raya dan cuba mengelak daripada diperiksa.

“Suspek cuba memboloskan diri dengan membuat pusingan ‘U’ dan menunggang dengan laju serta melulu.

“Suspek juga terus melanggar mangsa yang mengarahkannya supaya berhenti,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, semalam.

Menurutnya, akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mereka mendapat kecederaan dan anggota tersebut dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, manakala suspek dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan terhadap suspek menemui dua pil dipercayai dadah jenis eramin 5 dalam poket seluar hadapan sebelah kanan yang dipakai suspek.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut kerana mencederakan polis dan memiliki dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan: