Jambatan Bandar Baru Kundang dijangka siap Ogos ini

Jambatan lama sempit antara faktor penyaluran peruntukkan pembinaan jambatan baharu. Gambar kecil: Som Pong
Jambatan lama sempit antara faktor penyaluran peruntukkan pembinaan jambatan baharu. Gambar kecil: Som Pong
A
A
A

KUNDANG - Projek pembinaan jambatan Bandar Baru Kundang dijangka siap Ogos ini selepas beberapa isu teknikal atas tapak itu berjaya diselesaikan.

Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Gombak, Ir Som Pong Pichan berkata, projek menghubungkan Jalan Kundang dengan Lebuhraya Kuala Lumpur Kuala Selangor (Latar) bernilai RM10.9 juta itu melibatkan penggantian jambatan satu lorong dua hala mengikut standard kelebaran JKR.

"Sepatutnya projek disiapkan Mac ini namun kontraktor membuat permohonan lanjutan sebelum diluluskan jawatankuasa. Antara faktor kelewatan projek disebabkan halangan struktur melibatkan kerja perobohan, isu teknikal seperti pelan.

"Projek ini bagi menyelesaikan isu jambatan lama yang sempit dengan penggantian pembinaan jambatan dan sambungan jalan ke jambatan itu dianggarkan sejauh satu kilometer," katanya ketika sesi taklimat dan lawatan tapak bersama ADUN Kuang, Sallehudin Amirudin, hari ini.

Sallehudin (dua kanan) meninjau tapak projek.
Sallehudin (dua kanan) meninjau tapak projek.

Sallehudin berkata, beliau menerima aduan awam akan masalah struktur jalan berdebu dan tidak rata di atas tapak projek yang masih berjalan ini.

"Pemotongan jalan (road crossing) memberikan masalah kepada penduduk dan saya telah minta JKR untuk mengurangkan kesannya. Ada cadangan untuk pengubahan jalan namun perlu melibatkan tambahan kos lain pula.

"Saya harap penduduk sedikit bersabar sementara JKR mencari jalan penyelesaian terbaik dan menunggu masa empat bulan lagi untuk projek siap sepenuhnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan penggantian jambatan lama itu susulan beberapa siri kemalangan kereta terjuman dalam sungai selain kepesatan kawasan itu dengan pertambahan projek perumahan dan industri menyebabkan jambatan lama itu tidak lagi sesuai digunakan.